Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Ikatan pertikai 85% ahli politik PH dalam Yadim
Diterbitkan:  Jan 30, 2019 10:44 AM
Dikemaskini: 2:44 AM

Dewan Pemuda Parti Ikatan Bangsa Malaysia mempersoalkan pelantikan keseluruhan barisan ahli lembaga pengarah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) yang hampir kesemuanya di kalangan ahli politik.

Ketua Pemudanya, Shahir Adnan berkata, seramai 10 daripada 12 orang atau hampir 85 peratus daripada mereka adalah daripada ahli politik Pakatan Harapan (PH), termasuk seorang daripada DAP.

"Pelantikan sebegini bukan sahaja meranapkan harapan rakyat Malaysia untuk melihat perubahan lebih baik dengan dogma Malaysia Baru, malah dilihat memperkotak-katikkan Manifesto Pakatan Harapan dan meruntuhkan institusi agama Islam yang mulia seperti Yadim.

"Persoalannya, bagaimanakah Yadim akan berfungsi untuk mengembangkan dakwah Islam di sebalik lantikan politik ini tanpa berlakunya keadaan berat sebelah kepada pendakwah-pendakwah lain yang tidak sealiran fahaman politiknya atau yang berada di atas pagar?

"Rakyat akan melihat Yadim sebagai salah satu alat politik yang menunggang agama," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dr Mujahid Yusof semalam mengesahkan pelantikan Adun Paloh Sheikh Omar Ali sebagai anggota lembaga pemegang amanah Yadim.

Mujahid berkata pelantikan Adun DAP itu dibuat berdasarkan kelayakannya selaku pemegang ijazah bidang usuluddin di Universiti Malaya (UM) dengan pengkhususan dalam dakwah.

Ia kemudiannya mengundang kritikan keras daripada bekas yang dipertua Yadim, Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan kumpulan pendesak Melayu, Perkasa.

Menurut Shahir, pihaknya berasakan amat janggal apabila ahli politik DAP turut dilantik sebagai ahli lembaga pengarah Yadim.

Ini kerana katanya, matlamat DAP berdasarkan visi dan misi parti yang berbunyi “Mengesahkan lagi dan memulihkan Perlembagaan Malaysia kepada rangka kerja sekular yang asal, iaitu sebagai sistem undang-undang tertinggi negara yang menghormati nilai-nilai demokrasi dan hak asasi manusia dengan memberi hak yang saksama kepada setiap rakyat Malaysia”.

"Sekularisma adalah konsep bahawa kerajaan harus wujud terasing daripada agama atau kepercayaan agama.

"Amat janggal apabila Yadim, bertanggungjawab terus kepada perdana menteri dan menteri, yang berkhidmat di dalam kerajaan diterajui oleh Ahli Lembaga Pengarah daripada parti yang mempunyai visi dan matlamat konsep sekularisma," katanya.

Lihat Komen
ADS