Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Dr Mahathir Mohamad mengakui tajaan syarikat judi terhadap lawatan pegawai kanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) ke Turki tidak wajar walaupun ia berniat baik.

Perdana menteri juga menegaskan keputusan menerima tajaan itu dibuat sebelum PH mengambil alih Putrajaya pada 9 Mei 2018.

“Perkara itu diputuskan oleh kerajaan lalu, sebelum kami (PH) memerintah.

"Tujuannya (lawatan itu) baik, tapi ia (tajaan syarikat loteri Itu) tidak wajar,” katanya.

Mahathir berkata demikian ketika diminta mengulas lawatan sambil belajar Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun serta beberapa pegawai kanan PDRM ke Turki baru-baru Ini.

Ia dianggap sensitif kerana melibatkan agensi swasta memberi tajaan kepada badan yang bertanggungjawab menguatkuasakan undang-undang di negara ini.

Malaysiakini pada 13 Feb melaporkan Menteri Kewangan Lim Guan Eng sebagai berkata lawatan tersebut tidak melibatkan dana kerajaan sebaliknya dibiayai oleh syarikat loteri Da Ma Cai.


Baca PAS tuntut butiran lawatan IGP yang ditaja syarikat judi didedah


Jawapan Lim itu mengundang kecaman dan kritikan pembangkang, termasuk Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki.

Namun Lim kemudian memberitahu Asyraf Wajdi, keputusan menerima tajaan daripada syarikat agensi nombor ramalan itu dibuat pada 2017.

Untuk rekod pada waktu itu kerajaan dipimpin Najib Razak dan Asyraf Wajdi menjadi salah seorang timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Terdahulu, Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin mengesahkan Mohamad Fuzi mengetuai sekumpulan pegawai kanan polis melawat Istanbul untuk belajar mengenai kaedah membanteras perjudian dalam talian.

Sarawak Repost melaporkan lawatan tersebut pada 10 Feb lalu.

Menurut portal pembocor maklumat itu seramai 16 pegawai kanan PDRM menyertai lawatan tersebut dengan menaiki penerbangan kelas perniagaan dan ditempatkan di hotel bertaraf lima bintang.

Lihat Komen
ADS