Syarikat dikaitkan dengan dakwaan CBT Zahid telah ditutup
Sebuah syarikat perundingan yang didakwa menerima bayaran RM260,000 daripada yayasan yang dikendalikan oleh keluarga Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi telah ditutup selepas beroperasi kira-kira dua tahun, menurut rekod syarikat.
Semakan Malaysiakini dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia mendapati bahawa TS Consultancy & Resources didaftarkan pada Februari 2015 dan ditutup pada Mei 2017.
Syarikat dengan alamat berdaftar di Putrajaya itu menyatakan antara perniagaannya adalah menyediakan latihan, seminar dan sesi motivasi.
Rekod juga menyenaraikan dua individu sebagai pemilik berdaftar syarikat itu.
Pagi ini, Zahid sekali lagi dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tuduhan baru membabitkan pecah amanah dana milik Yayasan Akal Budi.
Menurut kertas pertuduhan, beliau secara curang didakwa membuat pembayaran sebanyak RM260,000 kepada sebuah syarikat, TS Consultancy & Resources, tiga tahun lalu.
Ini adalah satu kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan.






