BERITA Malaysiakini

Hadi: Semoga Allah beri balasan sewajarnya di dunia, akhirat

News  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Presiden PAS Abdul Hadi Awang menyifatkan partinya kini dilanda serangan daripada segenap penjuru secara silih berganti.

Bagi menghadapinya, Hadi menerusi hantaran di Facebook hari ini meminta pemimpin, anggota dan penyokong PAS agar mengadu kepada Allah, sambil mengingatkan doa orang yang dizalimi tiada hijab di sisi-Nya.

"Saya menyeru kepada pemimpin, ahli dan penyokong PAS untuk bermunajat dan mengadu kepada Allah Yang Maha Kuasa.

"Dengan menunaikan solat hajat, berpuasa, membaca Al-Quran dan melakukan amal kebajikan kepada semua pihak serta bertawassul memohon kepada Allah agar memberi balasan sewajarnya di dunia dan akhirat," katanya.

Beliau tidak menamakan secara khusus pihak yang menyerang PAS serta mengaitkan mana-mana pihak dengan "balasan" yang disebutnya.

Sejak penyelesaian luar mahkamah kes saman fitnah Hadi terhadap Editor Sarawak Report Clare Rewcastle Brown, PAS sekali lagi menjadi sasaran pengkritik dan seteru politiknya.

Antara isu yang melanda PAS adalah siasatan SPRM terhadap dakwaan parti itu menerima RM90 juta daripada Umno serta pengakuan rakaman audio Nik Abduh Nik Abdul Aziz berkenaan penerimaan wang dari Umno - yang dahulu dinafikannya.

Terbaru PAS didakwa membayar RM1.4 juta kepada Clare sebagai sebahagian daripada penyelesaian luar mahkamah saman fitnah Hadi. Setiausaha Agung PAS Takiyudin Hassan menafikan dakwaan itu.


BacaPAS rela jadi lilin membakar diri


Bagaimanapun Rewcastle-Brown hari ini mengesahkan menerima wang tersebut dan menunjukkan gambar salinan dokumen berkaitan, termasuk sekeping cek Bank Islam dan sepucuk surat kepada Maybank yang mengesahkan perkara itu.

Naib Presiden PKR Rafizi Ramli pula mendakwa wang tersebut dibayar menggunakan akaun seorang pengerusi syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Selain isu itu, PAS turut menjadi perhatian selepas mengisytiharkan sokongan terhadap kepimpinan Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri dan mendakwa ada pihak dalam PH yang mahu memulakan undi tidak percaya kepada Mahathir.

Dalam pada itu, Hadi berkata kuasa Allah mengatasi "segala kerajaan di dunia ini".

"Kita memohon pertolongan kepada Allah Yang Maha Kuasa dan Maha Tinggi. Yakinlah perjuangan Islam itu benar dan ikhlaskan niat kerana Allah," katanya lagi.