Pakatan Harapan tidak seharusnya terganggu dengan retorik persefahaman Umno-PAS, kata bekas presiden Majlis Peguam, Ambiga Sreenevasan.

Sebaliknya, kata beliau gabungan PH seharusnya menumpukan perhatian mereka terhadap mempromosikan agenda untuk menyatukan rakyat berbilang kaum, memupuk keharmonian dan memperkasakan ekonomi rakyat.

Menurut Ambiga, alasan di sebalik kerjasama PAS-Umno itu adalah untuk merampas semula kuasa.

"Perlembagaan tidak bermakna apa-apa kepada mereka," katanya dalam menjawap tweet daripada pembantu ahli politik veteran DAP Lim Kit Siang dan peguam Syahredzan Johan.

Syahredzan mengingatkan mengenai kemungkinan wujudnya kerajaan esklusif Melayu-Islam pada masa akan datang.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Ketua Setiausaha Agung BN Nazri Abdul Aziz bahawa kerjasama formal antara Umno dan PAS bermakna berakhirnya semangat berbilang budaya BN, yang mana gabungan itu diasaskan.

Sebelum itu, dalam ciapan di Twitter lalu, Ambiga berkata beliau langsung tidak terkejut dengan persefahaman PAS-Umno itu.

"Bagaimanapun, ia hak mutlak mereka. PH harus memberi tumpuan menyatukan rakyat berbilang bangsa dan agama untuk membawa Malaysia ke tahap lebih tinggi dan menjadikan negara ini mampu berdaya saing di peringkat global," katanya.

PAS dan Umno mengumumkan ‘persandingan’ mereka susualan kejayaan dalam dua pilihan raya kecil, iaitu di Cameron Highlands dan Semenyih, yang menyaksikan penyatuan orang Melayu menyokong calon BN.

[Baca berita penuh]