Ketua Setiausaha Kementerian Hal Ehwal Ekonomi, Nik Azman Nik Abdul Majid dilantik sebagai Ketua Audit Negara untuk tempoh dua tahun mulai 23 Februari lalu.

Menurut kenyataan daripada Ketua Setiausaha Negara, Ismail Bakar, Nik Azman menggantikan Madinah Mohamad yang telah tamat tempoh perkhidmatannya pada 22 Februari lalu.

Madinah dilantik pada tahun 2017 ketika pentadbiran Najib Razak sebagai perdana menteri.

“Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, atas nasihat perdana menteri dan selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja telah memperkenankan pelantikan Nik Azman sebagai ketua audit negara untuk tempoh dua tahun,” katanya.

Nik Azman, berkelulusan ijazah sarjana muda kepujian) ekonomi gunaan dari Universiti Malaya dan sarjana ekonomi dari University of Nebraska, Amerika Syarikat.

"Beliau mempunyai pengalaman luas dalam bidang ekonomi dan kewangan.

"Sebelum ini beliau pernah berkhidmat di kementerian hal ehwal ekonomi, unit perancang ekonomi, Bank Dunia Washington DC, kementerian kewangan dan jabatan perdana menteri," kata Ismail.

"Kerajaan di samping itu ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Madinah di atas segala usaha bakti beliau sepanjang berkhidmat sebagai ketua audit negara.

"Jasa Madinah khususnya dalam membabitkan usaha mentransformasi dan menstrukturkan semula sistem pengauditan serta mengukuhkan sistem pengurusan kewangan kerajaan," katanya.