Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bekas pengarah AIAC diberi tempoh 24 jam hadirkan diri ke mahkamah
Diterbitkan:  Mar 25, 2019 2:20 PM
Dikemaskini: 6:20 AM

Bekas pengarah Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC) Prof Dr Sundra Rajoo diberi tempoh 24 jam untuk hadir ke Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur selepas gagal menghadirkan diri bagi menghadapi tiga pertuduhan di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini.

Susulan itu, Timbalan Pendakwa Raya Kamal Baharin Omar memohon waran tangkap dikeluarkan berikutan kegagalan tertuduh menghadirkan diri ke mahkamah.

Ia bagaimanapun ditolak Hakim Azura Alwi selepas beliau diberitahu bahawa Sundra akan menghadiri satu prosiding lain di Mahkamah Tinggi esok.

"Kita akan beri tertuduh (Sundra) tempoh 24 jam untuk hadir di sini selepas tamat prosiding kesnya di Mahkamah Tinggi esok," katanya.

Peguam K Shanmuga, yang mewakili Sundra dalam kesnya di Mahkamah Tinggi, turut hadir sebagai amicus curiae (rakan mahkamah).

Sundra sebelum ini dilapor mempersoalkan rancangan SPRM untuk mendakwanya sehari sebelum permohonannya untuk memohon semakan kehakiman bagi penetapan pendengaran (kes mendapatkan imuniti) daripada Mahkamah Tinggi.

Pada 6 Mac lalu, Sundra memohon kepada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk menegaskan semula imunitinya berhubung tindakan yang dilakukannya ketika menjadi pengarah AIAC.

Sundra menjadi perhatian selepas SPRM menyerbu pejabatnya tahun lalu dan beberapa kakitangannya disoal siasat setelah dia disyaki menggunakan dana kerajaan untuk mendapatkan manfaat daripada menteri untuk menyambung kontraknya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS