Ahli Parlimen BN bertegang urat susulan nasihat daripada sekutu mereka bahawa mereka tidak sepatutnya membahaskan kenyataan yang dibuat oleh Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar di Dewan Rakyat.

Pertikaman lidah tercetus apabila Ahmad Maslan (BN-Pontian) meminta Menteri Luar Saifuddin Abdullah menjawab kritikan sultan Johor terhadap keputusan kerajaan untuk meratifikasi Statut Rome Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) dan dakwaan bahawa ia tidak berperlembagaan.

“Sultan Johor titah dan dibacakan oleh pegawai deerah di 10 daerah, tapi dalam hal ini disebut Statut Rome melanggar perlembagaan negara mengenai titah itu.

“Setakat mana boleh kita untuk tarik balik jika betul langgar perlembagaaan,” soalnya.

Walau bagaimanapun, Wan Junaidi Tuanku Jaafar (GPS-Santubong), yang merupakan bekas timbalan speaker Dewan Rakyat semasa pentadbiran BN sebelum ini bangkit dan memetik Peraturan Mesyuarat 36 (7), yang menyatakan bahawa ahli parlimen tidak boleh menyebut nama sultan untuk mempengaruhi Dewan.

Perintah Tetap 36 (7) menyatakan: “Nama Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong atau nama Raja-raja Melayu atau Tuan-tuan Yang Terutama Yang di-Pertua-Yang di-Pertua Negeri tidak boleh digunakan bagi mempengaruh Majlis Mesyuarat."

Saifuddin, yang memperakui pengalaman Wan Junaidi kemudian meminta Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Mohd Rashid Hasnon untuk memberi panduan.

Walau bagaimanapun, Ahli Parlimen BN membantah dan menegaskan bahawa Saifuddin mesti menjawab soalan yang dibangkitkan.

“Perlu dijawab kerana rakyat.... jawapan benar tidak boleh kelirukan rakyat.

“Kalau isu ini tak boleh ditanya di Dewan yang mulia ini apa guna kita jadi wakil rakayat. Ini persoalan sensitif. ....isu sekarang kita mesti bertanggungjawab terhadap rakyat.

“Kalau dalam dewan tak boleh tanya apa perlu kita datang ke Dewan,” kata Azalina Othman (BN-Pengerang).

Menyokongnya, Shahidan Kassim (BN-Arau) berkata mereka tidak menyentuh kelakuan atau sifat sultan tetapi hanya mengenai kenyataannya.

“Ini kenyataan baik dan kita bukan sentuh ini kita bincang kenyataan yang dikeluarkan baginda. Saya rasa ini perlu dijawab,” katanya.

Walau bagaimanapun, Wan Junaidi berkata isu kelakuan atau sifat seorang sultan yang dibangkitkan oleh Arau adalah di bawah Peraturan Mesyuarat 36 (8) tetapi yang dirujuknya adalah Peraturan Mesyuarat 36 (7) yang khusus untuk menggunakan sultan bagi mempengaruhi Dewan.

Mohd Rashid akhirnya bersetuju dengan pandangan Wan Junaidi dan meminta Saifuddin meneruskan perbahasannya.

[Baca berita penuh]