‘Redzuan utamakan keuntungan dari keselamatan rakyat’
Sahabat Alam Malaysia (SAM) dan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menyelar Menteri Pembangunan Usahawan Mohd Redzuan Yusof atas dakwaan lebih mengutamakan keuntungan berbanding keselamatan penduduk dan alam sekitar.
Ia susulan kenyataan Redzuan dua hari lalu bahawa kilang memproses bahan nadir bumi Lynas Malaysia tidak seharusnya diarahkan menghantar semula sisanya ke Australia memandangkan pelaburan syarikat berkenaan “terlalu besar untuk diketepikan.”
“Kenyataan menteri berkenaan tidak dapat diterima sama sekali kerana ternyata beliau lebih mengutamakan keuntungan syarikat berbanding keselamatan penduduk Malaysia dan alam sekitar,” kata presiden badan-badan itu, SM Mohamed Idris dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Idris, Redzuan tidak seharusnya campur tangan dalam urusan pengendalian sisa toksik dan bahan radioaktif yang dikeluarkan oleh kilang Lynas di Gebeng, Kuantan, kerana ia bukan di bawah bidang kuasa kementeriannya.

Sebaliknya, kata Idris, hal tersebut adalah bidang kuasa Kementerian Tenaga, Sains dan Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Cuaca (MESTECC).
“Kami menyokong penuh keputusan MESTECC yang meminta kilang Lynas dipindahkan dan membuang sisa radioaktifnya dalam proses Water Leach Purification (WLP), selaras dengan dua surat yang diberikan oleh syarikat kepada kerajaan pada Februari dan Mac 2012.
“Menteri berkenaan (Redzuan) sepatutnya menyokong usaha yang dilakukan oleh Menteri MESTECC, Yeo Bee Yin, dengan memastikan Lynas mematuhi arahan kerajaan,” katanya.
Dua hari lalu, Redzuan dipetik Utusan Malaysia sebagai berkata Lynas tidak sepatutnya dipaksa mengeksport pembuangan sisa radioaktif ke Australia, kecuali dinilai sebagai ‘sangat tidak selamat’, memandangkan pelaburannya terlalu besar untuk diabaikan.
Jelas Idris, sisa berkenaan patut dieksport kerana ia tidak boleh dianggap bahan radioaktif yang berlaku secara semula jadi, tetapi dipertingkatkan secara teknologi yang berbahaya.

Tambahnya lagi, dakwaan bahawa unsur radioaktif seperti uranium dan thorium dalam WLP (water leached purification) boleh dicairkan dan kurang beradioaktif adalah tidak berasas.
“Uranium dan thorium serta ‘anak-anaknya’ mempunyai jangka hayat berbilion tahun.
“Pilihan terbaik untuk menjaga kesihatan awam ialah dengan menghantar semula sisa tersebut ke Australia agar kerajaan Malaysia tidak perlu bertanggungjawab untuk mengurus sisa ini, yang akan kekal sebagai bahan beradioaktif dalam tempoh yang panjang,” katanya lagi.
Selain itu, Idris turut menggesa operasi kilang Lynas agar dihentikan seberapa segera yang boleh.
Untuk rekod, kilang Lynas menghasilkan dua jenis sisa, iaitu WLP dan Neutralization Underflow Residue (NUF) - yang tidak mengandungi radioaktif tetapi membawa risiko pencemaran logam berat.
Lynas sebelum ini menegaskan bahawa loji pemprosesan nadir bumi di Gebeng, Kuantan mematuhi peraturan ketat oleh kerajaan.
Setakat Disember tahun lalu, sisa WLP terkumpul di kilang Lynas adalah sebanyak 451,564 tan manakala NUF pula sebanyak 1.113 juta tan.





