Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kabinet bincang isu Tabung Haji, bayaran hibah esok

Mesyuarat jemaah menteri esok yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad akan membincangkan isu-isu berkaitan kewangan Lembaga Tabung Haji (TH), termasuk cadangan pelan penstrukturan dan pemulihan semula lembaga itu.

Pembayaran hibah juga akan diumum dalam tempoh terdekat selepas mesyuarat.

“Kabinet akan membincangkan secara terperinci isu berkaitan kedudukan kewangan dan perkara-perkara bersangkutan dengannya, termasuk kemampuan TH membayar hibah kepada pendeposit.

“TH akan membuat pengumuman dalam tempoh terdekat selepas Jemaah Menteri membuat keputusan,” katanya semasa Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Menurut Dr Mahathir, isu TH akan dibincangkan secara terperinci dalam kabinet esok, kerana jemaah menteri mempunyai banyak butiran yang beliau tidak mahu salah tafsir.

"Atas sebab itulah saya tidak dapat menjawab hari ini. Saya perlu berhati-hati kerana ini melibatkan pendeposit TH.

“Ia termasuk kemampuan TH membayar hibah kepada pendeposit,”katanya.

Perdana Menteri menjawab pertanyaan Noraini Ahmad (BN-Parit Sulong) yang bertanyakan bila kerajaan akan mengumumkan bayaran hibah kepada 9.3 juta pendeposit TH.

Menurut Noraini, berdasarkan rekod lima tahun ke belakang, TH akan mengumumkan kadar hibah pada Februari, namun sehingga kini pengumuman mengenainya masih belum dibuat sehingga menimbulkan kegelisahan dalam kalangan pendeposit.

"Saya akan jelaskan perkara ini selepas mesyuarat jemaah menteri memutuskannya. Tetapi hakikatnya yang diketahui umum ialah terdapat pencurian oleh pengurusan TH yang banyak.

"Sudah tentu menjejaskan kebolehan kita memberi pulangan kepada penyumbang TH," kata Dr Mahathir.

Sementara itu, mengulas lanjut berhubung kegusaran pendeposit tentang masa depan TH, Mahathir berkata isu itu timbul ekoran ketidaktepatan maklumat yang diperolehi mereka.

“Banyak orang buat tuduhan, mereka tak tahu asas benar atau tidak, bagi kerajaan kita terpaksa meneliti secara terperinci dengan fakta yang sebenar, baru kita boleh bercakap.

“Dan sebab itu juga kita kadang-kadang tak jawab (tuduhan),” katanya ketika diminta mengulas kegusaran masa depan TH dan beri buah untuk pembangkang hentam kerajaan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS