Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kertas putih Felda: Konflik kepentingan macam mana, tanya Isa

Bekas pengerusi Felda Isa Samad mempersoalkan laporan kertas putih yang dibentangkan di Dewan Rakyat yang mengaitkan dirinya secara langsung dengan konfilk kepentingan di agensi kerajaan itu.

Kata Isa beliau tidak jelas apakah konflik kepentingan yang dimaksudkan dalam laporan dibentangkan di parlimen semalam.

"Dalam kertas tu tak sebut, konflik kepentingan macam mana?

"Umpamanya, katakanlah saya pengerusi Felda, pengerusi FGV - adakah itu maksudnya?" katanya kepada pemberita di pekarangan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini.

Bekas menteri besar Negeri Sembilan itu berkata demikian ketika diminta media untuk mengulas mengenai laporan Kertas Putih Felda yang didedahkan di parlimen.

Dalam kertas putih tersebut ada dinyatakan Isa - yang mengetuai Felda dan syarikat FGV Holdings Berhad - turut mengetuai 39 anak syarikat lain dalam agensi tersebut.

Pernah laksanakan dulu

Felda kini berdepan dengan krisis kerugian melibatkan wang peneroka.

Kertas putih itu tidak meletakkan kesalahan secara khusus kepada mana-mana individu berkenaan kegiatan Felda Global Ventures (FGV) dan Felda Investment Corporation (FIC).

Bagaimanapun, dokumen itu menyatakan kedudukan Isa - selaku pengerusi lembaga Felda, FIC dan FGV - sebagai terlibat dalam konflik kepentingan.

Audit forensik turut merumuskan berlaku keadaan paling buruk FIC terhadap lapan pelaburannya.

Kelemahan yang dinyatakan dalam audit itu termasuklah pembayaran melebihi harga pasaran, kegagalan memaklumkan lembaga pengarah Felda berkenaan keputusan pelaburan, amalan perakaunan yang teruk, pengabaian laporan risiko, dan pencabulan Dasar Pelaburan Felda. 

Sementara itu, Isa yang turut mengulas mengenai laporan pembentangan kertas putih itu berkata ia satu perkara yang wajar dilakukan kerana rakyat - terutamanya peneroka - mendapat penjelasan bahawa RM8 bilion yang ketika pilihan raya sering dikatakan mengalami kerugian disebabkan salah urus.

"Hutang peneroka iaitu termasuk kos sara hidup, tanam semula, ada yang ambil pinjaman rumah tanpa faedah dan ada juga yang buat Skim Insentif Usahawan Felda," katanya.

Menurut Isa lagi dengan laporan dibentangkan semalam menunjukkan isu Felda dan kerugian RM8 bilion yang didakwa disalah urus itu dijadikan modal politik PH.

Mengulas lanjut mengenai pembentangan kerta putih itu, Isa berkata, beliau menjangkakan suntikan RM6.23 bilion ke dalam Felda akan dapat menghapuskan 50 peratus hutang peneroka.

"Dengan adanya kertas putih, kerajaan dikatakan nak bagi RM6.2 bilion untuk uruskan Felda.

"Itu satu yang baik dan saya harap daripada RM6.2 bilion itu dapat digunakan untuk menghapuskan 50 peratus hutang peneroka seperti yang dijanjikan pada pilihan raya lalu," katanya.

Beliau juga berkata langkah diambil kerajaan untuk memulihkan Felda tidak banyak beza daripada apa yang pernah dilaksanakannya sebelum ini.

"Dan saya rasa tentu peneroka sedang menunggu-nunggu apa yang mereka dapat dengan suntikan begitu tinggi daripada pembentangan kertas putih dan pembaharuan dalam Felda," katanya.

Semalam, kerajaan mengumumkan bantuan kewangan sebanyak RM6.23 bilion kepada Felda, berbentuk geran, pinjaman dan jaminan kerajaan secara berperingkat mengikut keperluan.

Ketika membentangkan laporan itu Menteri Hal Ehwal Ekonomi Azmin Ali berkata dengan model baru itu Felda akan menyuntik tenaga baru dan mengoptimumkan potensi untuk maju dan memodenkan industri pertanian. 

Lihat Komen
ADS