Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images

TINJAUAN | Dalam wawancara bersama New Straits Times pada 8 April, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad sekali lagi menegaskan keperluan untuk subjek sains dan matematik di sekolah diajar dalam bahasa Inggeris.

Malah kata Mahathir, program Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) yang diperkenalkan pada zamannya menjadi Perdana Menteri pertama kali dulu sebenarnya masih dilaksanakan di beberapa sekolah dengan nama Program Dwibahasa (DLP).

Bagi meneruskan kesinambungannya di semua sekolah, program tersebut, katanya, akan ditambah baik dengan pembangunan program dan sistem komputer yang seragam supaya kualiti pengajaran dan pencapaian pelajar akan dapat ditingkatkan.

Ketika pengenalannya dahulu, PPSMI mendapat reaksi berbelah bahagi daripada rakyat negara ini. Bantahan daripada kumpulan tertentu - terutama pejuang bahasa Melayu - akhirnya menyebabkan menteri pelajaran ketika itu Muhyiddin Yassin mengumumkan pemansuhan program berkenaan pada 2012.

Namun, berbanding ketika pelaksanaan PPSMI lebih sedekad lepas (2007), keadaan kini berubah, terutama dengan kemasukan generasi baru yang lebih muda untuk menggalas tanggungjawab sebagai pendidik.

Malaysiakini bertanya beberapa orang pendidik muda tentang bayangan yang diberikan perdana menteri tentang PPSMI yang mungkin akan dihidupkan semula di sekolah-sekolah seluruh negara.

Temu bual itu dilakukan bagi mendapat maklum balas golongan pendidik muda yang juga merupakan golongan paling dekat dengan pelajar dan terlibat secara langsung dengan proses pengajaran dan pembelajaran (P&P).

Sesuai untuk guru, pelajar

Bagi guru kimia di SMK Seri Kampar, Perak, Nur Amy Yussiela Mohd Yusof, 32, dia menganggap kesan baik daripada PPSMI lebih banyak berbanding kesan buruknya.

Biarpun mengakui bakal berdepan kesukaran pada peringkat awal, dia yakin, semakin lama proses P&P akan menjadi semakin mudah lebih-lebih lagi apabila kebanyakan istilah sains dan matematik lebih mudah difahami dalam bahasa Inggeris.

“Cadangan ini saya sangat setuju. Sebagai guru saya rasa sangat rugi apabila PPSMI dihentikan dahulu,” katanya kepada Malaysiakini.

Nur Amy Yussiela

Bagaimanapun, mengulas tentang cadangan perdana menteri berkenaan pembangunan program komputer untuk pengajaran, Amy Yussiela berharap program tersebut biarlah bersesuaian untuk digunakan di seluruh Malaysia.

“Sekolah saya sekarang sudah tak ada wi-fi. Saya harap kalau ada program, biarlah yang efisyen untuk digunakan guru dan pelajar.

"Lagipun, di kawasan saya ni masih ada kampung yang tidak ada capaian internet,” tambahnya lagi.

Pendapat itu dikongsi oleh guru Sains dan Kimia SMK Sungai Kob, Kedah, Nurul Akma Bahari yang berpendapat PPSMI dapat membantu pelajar menjadi lebih berkeyakinan dan melalui proses pembelajaran di peringkat yang lebih tinggi dengan lebih mudah.

Bagaimanapun, kata Nurul Akma, 32, program tersebut tetap perlu dilaksanakan mengikut kemampuan pelajar.

Nurul Akma

“Di sekolah luar bandar, kelas DLP terpaksa ditutup kerana kegagalan pelajar menguasai bahasa Inggeris menyebabkan mereka terus gagal menguasai sains dan matematik.

“Seharusnya pelajar diberi ujian kelayakan sebelum terus dimasukkan ke program DLP,” ulasnya lagi.

Ada ambil kesempatan

Bagi guru bahasa Melayu di SMK Pai Chee, Mersing, Siti Maisarah Harman @ Halmi pula, dia berpendapat lebih baik subjek sains dan matematik diajar secara dwibahasa.

“Maksudnya bahasa Inggeris digunakan untuk istilah-isitilah penting, bahasa Melayu pula digunakan sebagai penerangan untuk memastikan pelajar faham konsep sebenar yang ingin disampaikan,” katanya yang mengajar subjek bahasa Melayu dan sains.

Biarpun mengakui PPSMI akan dapat memberi ruang kepada pelajar luar bandar untuk menjadi lebih terbuka dan bersedia berdepan cabaran dunia luar, cadangan perdana menteri yang ingin menggunakan program komputer untuk proses P&P dilihat sebagai tidak realisitik.

“Sekiranya hendak dilaksanakan, kementerian perlu membekalkan komputer yang mencukupi untuk setiap sekolah dan memastikan capaian internet yang laju bagi membolehkan guru dan pelajar memuat turun isi kandungan yang hendak diajar pada hari berkenaan.

“Bagi sekolah yang tiada masalah komputer dan internet, sikap pelajar yang suka mengambil kesempatan melayari laman web yang tidak berkenaan juga menjadi masalah.

"Akhirnya guru sentiasa berdepan masalah untuk memastikan pelajar fokus terhadap apa yang disampaikan,” katanya yang berusia 34 tahun.

Kenyataan Mahathir tentang PPSMI yang diperkenalkan pada 2003 itu bersesuaian dengan manifesto PH yang mahu memperkenalkan semula program tersebut sekiranya menang dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14.

Bagaimanapun, Mahathir pernah dilaporkan berkata akan membuat pungutan suara bagi mendapat maklum balas daripada rakyat berhubung PPSMI.

Katanya, keputusan akan dibuat mengikut kehendak orang ramai.

Bagi guru berusia 26 tahun yang mengajar di sebuah sekolah rendah di Kuala Lumpur, Ahmad Hasif Amran, dia mengakui kebanyakan bahan rujukan untuk subjek sains dan matematik adalah dalam bahasa Inggeris.

Bagaimanapun, dia beranggapan pengajaran sepenuhnya subjek berkenaan dalam bahasa Inggeris akan membentuk diskriminasi kepada pelajar yang mahir sains dan matematik tetapi lemah dalam bahasa tersebut.

Apabila mengulas tentang dakwaan tidak adil yang dibangkitkan perdana menteri terhadap pelaksanaan DLP yang tidak menyeluruh di semua sekolah, Ahmad Hasif menganggap hal itu tidak sepatutnya timbul.

“Program DLP efektif bagi murid yang berkemampuan. Jika murid tidak mampu, mereka masih boleh mempelajari sains dan matematik dalam bahasa Melayu.

“Ketidakadilan boleh berlaku sekiranya kerajaan hanya fokuskan kepada bahasa Inggeris, tetapi tidak membuat apa-apa inisiatif untuk membantu pelajar yang mahir sains dan matematik tetapi lemah bahasa Inggeris untuk membina masa depan mereka dan membantu memperhebat industri sains di negara sendiri,” tambahnya yang mengajar bahasa Inggeris dan sains itu.

Ahmad Hasif

Bagi guru lelaki yang tidak mahu dinamakan pula, dia berpendapat P&P dalam subjek sains dan matematik perlulah dilakukan dalam bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dalam sistem pendidikan negara.

Dia juga berkata kira faktor penguasaan bahasa Inggeris yang lemah dalam kalangan pelajar luar bandar juga mesti diambil kira oleh kerajaan.

Katanya, jika kerajaan mahu meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris, rancangan dan program yang disediakan perlulah menjurus kepada peningkatan mata pelajaran tersebut, bukannya menjadikan sains dan matematik sebagai kambing hitam.

Tambah guru berusia 33 tahun itu lagi, mengikut apa yang dimaklumkan kepadanya, pelaksanaan DLP sendiri mempunyai syarat-syarat tertentu, termasuklah pencapaian Bahasa Malaysia di sesebuah sekolah itu perlu berada pada tahap baik atau cemerlang.

“Jika Bahasa Malaysia di sekolah itu sudah berada pada tahap cemerlang, bukankah lebih mudah untuk pelajar menguasai mata pelajaran lain?

“Jadi, mengapa bahasa Inggeris harus hadir dan menjadi wira untuk meningkatkan sains dan matematik? 

"Mengapa tidak kita mengoptimumkan penguasaan pelajar dalam bahasa Melayu untuk meningkatkan sains dan matematik?” soalnya yang mengajar subjek Bahasa Malaysia di sebuah sekolah di Selangor.

Selain itu katanya, sebelum dijalankan di sesebuah sekolah, inti pati sebenar DLP perlulah dijelaskan sebaik-baiknya kepada semua pihak termasuk pentadbir, guru, ibu bapa dan pelajar agar mereka faham tentang pelaksanaan program tersebut.

“Kita tidak mahu program itu terpaksa dijalankan kerana menerima ‘surat mandatori’ daripada Kementerian Pendidikan yang secara luaran nampak memberikan pilihan, tetapi secara tersirat ia berstatus wajib,” katanya lagi.

PPSMI pernah dilaksanakan sepenuhnya di sekolah rendah pada 2007 dan di sekolah menengah setahun kemudian.

Pada 2009, kajian oleh 53 pakar bahasa mendapati PPSMI hanya berjaya meningkatkan empat peratus penguasaan bahasa Inggeris.

Kajian tersebut merumuskan PPSMI menimbulkan kerugian berganda kepada pelajar, terutama kepada 75 peratus murid yang tergolong dalam kategori pencapaian sederhana dan lemah dalam tiga mata pelajaran terbabit, iaitu Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik.

Kesemua lima Sasterawan Negara yang masih hidup ketika itu juga menolak PPSMI.

Lihat Komen
ADS