Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
K’jaan runding beli senjata dengan pertukaran minyak sawit
Diterbitkan:  Apr 19, 2019 5:51 PM
Dikemaskini: 9:55 AM

Kementerian Pertahanan sedang berunding dengan beberapa negara antaranya Pakistan, Rusia dan China bagi membuat perolehan aset secara sistem barter, kata Menteri Pertahanan Mohamad Sabu.

Beliau berkata negera-negara berkenaan menunjukkan kesediaan untuk menerima minyak sawit sebagai pertukaran sekiranya Malaysia bercadang memperoleh aset pertahanan daripada mereka.

“Ia (sistem barter) sedang diusahakan secara gigih dan ada sambutan,” katanya kepada wartawan dalam satu sidang media di Kuala Lumpur hari ini.

Perolehan aset pertahanan secara sistem barter berkenaan dilihat sebagai salah satu cara untuk mengurangkan beban kewangan kerajaan.

Beliau akan bertolak ke Rusia esok bagi mengikuti program di sana termasuk pertemuan dengan menteri pertahanan negara berkenaan dan isu sistem barter itu akan dibincangkan dalam majlis tersebut.

Tambahnya lagi sekiranya menjadi kenyataan, kaedah sistem barter berkenaan turut mampu meningkatkan harga minyak sawit.

Sementara itu, Mohamad berkata kenyataan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bulan lepas mengenai kemungkinan Malaysia memilih negara selain negara-negara Eropah untuk memperoleh pesawat tempur bukanlah satu ketetapan.

“Kita kecewa dengan negara-negara Kesatuan Eropah terutamanya Perancis kerana Malaysia banyak membuat pembelian aset dari negara Perancis contohnya kapal terbang AirAsia dan aset ketenteraan seperti kapal selam Scorpene,” katanya.

“Kalau mereka terus berkempen menentang kelapa sawit, Malaysia boleh beralih kepada negara lain tetapi itu bukan lagi satu ketetapan,” katanya.

Parlimen Eropah dilaporkan sedang dalam proses mengharamkan penggunaan minyak kelapa sawit dalam biobahan api manakala rangkaian runcit Iceland di Britain telah mengumumkan bahawa mereka akan menghentikan penggunaan komoditi tersebut.

Malaysia adalah salah satu daripada pengeluar utama minyak sawit di dunia. Malaysia dan Indonesia menghasilkan hampir 90 peratus daripada minyak sawit dunia.

Pelobi anti-kelapa sawit mendakwa penanaman kelapa sawit menyebabkan penebangan hutan dan menyumbang kepada masalah jerebu, sedangkan sebenarnya, Malaysia mengamalkan penanaman kelapa sawit secara lestari.

Lihat Komen
ADS