Speaker Dun Johor menghadap TMJ
Putera Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkenan menerima menghadap Speaker Dewan Undangan Negeri Johor, Suhaizan Kayat di Istana Bukit Pelangi petang ini.
Tunku Ismail menyiarkan gambar pertemuan mereka di Twitter tetapi tidak mendedahkan butir perbincangan.
Malaysiakini telah menghubungi Suhaizan untuk mendapatkan komen.
Terdahulu dalam hantaran di Facebook, Suhaizan mencatatkan pertemuan dengan Tunku Ismail.
"Mengadap TMJ di Mados (pejabat di istana). TMJ bercerita panjang tentang harapannya melihat Johor menjadi peneraju ekonomi negara," tulisnya.
Pertemuan itu dibuat kebetulan selepas Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad semalam mendakwa perlembagaan negeri Johor dan Terenganu terbatal apabila Persekutuan Tanah Melayu dibentuk.
Suhaizan kemudian memberitahu Malaysiakini bahawa kenyataan perdana menteri itu boleh memberi kesan serius kepada kedua-dua kerajaan negeri.
"Suatu perbincangan yang lebih serius melibatkan pakar daripada persekutuan dan negeri perlu dilaksanakan," tambahnya.
Beberapa jam selepas tulisan di blog Mahathir, Tunku Ismail menyiarkan tangkap layar di Twitter mengenai dua artikel dalam Perlembagaan Persekutuan yang memberi jaminan terhadap perlembagaan negeri dan kedaulatan Raja-raja.
Mengulas dakwaan Mahathir, pakar perlembagaan Shad Saleem Faruqi dan peguam New Sin Yew berpendapat bahawa istilah "terbatal" adalah tidak tepat.
Bagaimanapun, kedua-dua bersetuju pendapat perdana menteri bahawa perlembagaan persekutuan memiliki kedudukan tertinggi di negara ini.
Mahathir terlibat dalam pergeseran dengan istana Johor berhubung kuasa sultan untuk memutuskan siapa yang seharusnya menjadi menteri besar dan meminta majlis mesyuarat kerajaan negeri dirombak.
Terdahulu hari ini, Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar mencadangkan agar semua pihak bersemuka dan berbincang sekiranya ada perselisihan atau salah faham.
Menyambut baik langkah itu, Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin berkata Sultan Ibrahim masih boleh mencampuri soal urusan di negeri itu tetapi bukan sehingga mengganggu proses pentadbiran kerajaan negeri.

