Paling Popular
Terkini

Menteri Kewangan Lim Guan Eng hari ini berkata golongan ditolak permohonan pinjaman membeli rumah dari bank tempatan meskipun layak boleh membuat aduan kepada kementeriannya untuk mendapatkan bantuan.

Jelas Lim, kementeriannya akan merujuk kepada Bank Negara dan bank yang terlibat untuk mendapatkan penjelasan permohonan pinjaman mereka ditolak.

"Jika anda sukar mendapatkan pinjaman, rujuk kepada Kementerian Kewangan. Kita kemudian akan semak dengan Bank Negara dan bank yang terlibat, kenapa anda tidak dapat pinjaman.

"Kita mahu menggalakkan bank memberi pinjaman... Jika bank enggan beri pinjaman, kita akan semak dengan bank. Jika penolakan itu wajar, kita akan biarkan. Jika tak wajar, bukan saja kita akan minta bank beri pinjaman, kita mungkin menimbangkan untuk mengambil tindakan kenapa mereka enggan beri pinjaman," katanya.

Lim turut menggalakkan lebih ramai pembeli rumah mengambil kesempatan dalam pelbagai tawaran melalui kempen Pemilikan Rumah - kempen yang inisiatif Kementerian Kewangan dan Persatuan Pemaju Perumahan Malaysia (Rehda) - dari 1 Jan hingga 30 Jun.

Antara lain, kata Lim, tawaran yang diumumkan dalam Belanjawan 2019 itu termasuklah pengecualian duti setem untuk harga hartanah RM1 juta pertama, dan jumlah berikutnya akan dicukai pada kadar tiga peratus dan bukannya empat peratus.

"Jadi jika harga hartanah itu RM1.5 juta, duti setem hanya akan dikenakan pada RM500,000 pada kadar tiga peratus," katanya dengan menambah bahawa pemaju juga perlu memberi minimum 10 peratus diskaun untuk semua unit yang dijual, dengan pengecualian unit kos rendah kawalan.

Tambah Lim lagi, bagi menggalakkan pembeli rumah pertama dan industri hartanah, Lim mengingatkan bahawa bank tidak seharusnya bimbang untuk memberi pinjaman.

"(Contohnya) rumah kos rendah RM42,000 tapi nilai sebenar lebih RM100,000.

"Jadi kalau dia tak boleh bayar, anda (bank) lelong boleh dapat semua balik. Buat apa nak bimbang? Buat apa nak takut? Rumah harga mewah mungkin lain perkara tapi untuk rumah yang nilai sebenar jauh dari harga dijual, saya rasa bank tak perlu bimbang sangat," katanya.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS