Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Hamid Bador dilantik sebagai IGP baru
Diterbitkan:  May 2, 2019 11:26 AM
Dikemaskini: 4:05 AM

Pemangku Timbalan Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador telah dilantik sebagai ketua polis negara yang baru secara kontrak selepas bersara untuk tempoh selama dua tahun berkuatkuasa Sabtu ini.

Menteri Dalam Negeri, Muhyiddin Yassin dalam satu kenyataan berkata bahawa Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad memperkenankan pelantikan itu.

"Pelantikan secara kontrak selepas bersara Abdul Hamid Bador sebagai Ketua Polis Negara bagi tempoh dua tahun berkuat kuasa mulai 4 Mei ini hingga 3 Mei 2021.

"Ia dibuat di bawah Fasal 4 dan 5 Perkara 140 Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Abdul Hamid, 60, sebelum ini merupakan timbalan pengarah Cawangan Khas Bukit Aman sebelum dipindahkan ke Jabatan Perdana Menteri ketika pentadbiran perdana menteri Najib Razak.

Beliau mendakwa penukarannya dilakukan kerana ada kaitan dengan tindakannya menyiasat skandal 1MDB.

Beliau bertugas semula dalam pasukan polis selepas Pakatan Harapan (PH) memenangi pilihan raya umum pada Mei tahun lalu, dan dilantik sebagai pengarah cawangan khas.

Abdul Hamid menggantikan Mohamad Fuzi Harun, yang akan bersara pada 4 Mei ini.

Abdul Hamid yang dilahirkan pada 7 Ogos 1958 di Kuala Lumpur telah memegang pelbagai jawatan penting, antaranya Ketua Penolong Pengarah Bahagian Inteligen Luar (E3), Bahagian Ancaman Ekstremis Luar dan Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman.

Berdasarkan pengalaman yang luas dalam bidang kepolisan, Abdul Hamid mempunyai kompetensi dan daya kepimpinan yang tinggi bagi meneruskan kesinambungan serta tanggungjawab menerajui PDRM.

Lihat Komen
ADS