Bekas pegawai bank Goldman Sachs, Roger Ng akan menghadapi perbicaraan di Malaysia sebaik selesai prosiding mahkamah di Amerika Syarikat (AS), maklum Peguam Negara Tommy Thomas.

Ini susulan laporan awal hari ini menyebut Ng telah diekstradisi ke Amerika Syarikat untuk menghadapi pendakwaan berkaitan 1MDB pada hari Jumaat minggu lalu.

Mengesahkan ekstradisi tersebut, Thomas berkata, Ng diserahkan kepada pihak berkuasa AS untuk sementara waktu.

"Kesan praktikal Roger Ng menghadapi tuduhan jenayah serentak bagi jenayah yang berlainan di bawah dua sistem yang berbeza di dua negara bermakna dia mesti diadili di kedua mahkamah Malaysia dan Amerika Syarikat.

"Bagi memutuskan di mana dia akan dibicarakan terlebih dahulu, perundingan diadakan di antaran kerajaan Malaysia dan AS yang membawa kepada perjanjian untuk Malaysia menyerahkan Ng buat sementara waktu bagi tempoh selama 10 bulan supaya membolehkannya diekstradisi ke AS serta menjalani pendakwaan di negara itu terlebih dahulu," katanya pada satu kenyataan hari ini.

Thomas berkata Menteri Dalam Negeri, Muhyiddin Yassin menandatangani waran penyerahan sementara Ng pada 25 April, mengikut perjanjian ekstradisi antara Malaysia dan Amerika Syarikat.

"Tempoh penyerahan sementara boleh dilanjutkan apabila mendapat persetujuan bersama oleh Malaysia dan Amerika Syarikat," maklum beliau lagi.

Malaysia menangkap Ng (gambar) pada 1 November tahun lepas, berikutan permintaan dari Amerika Syarikat pada 23 Oktober 2018.

Dia menghadapi tuduhan di bawah Akta Amalan Rasuah Asing AS, termasuk tuduhan pengubahan wang haram dan bersubahat untuk melanggar kawalan perakaunan dalaman negar aitu. Awalnya, bekas pegawai bank itu mencabar ekstradisinya ke AS.

Bagaimanapun, pada 18 Disember tahun lalu, dia dihadapkan ke mahkamah di bawah kesalahan Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan serta empat pertuduhan bersubahat dengan Goldman Sachs dalam kaitan menerbitkan bon pinjaman kepada 1MDB.

Pada 15 Februari tahun ini, Ng memaklumkan kepada mahkamah Malaysia untuk menarik balik cabarannya terhadap perintah ekstradisi itu dan menyerahkan dirinya ke bawah bidang kuasa perundangan Amerika Syarikat.

Thomas mengucapkan terima kasih kepada Ng kerana bersetuju menghadapi perbicaraan di kedua-dua bidang kuasa Amerika Syarikat dan Malaysia.

Jelas peguam negara, hal ini menjadi bukti kerjasama yang kuat antara agensi Malaysia dan Amerika Syarikat dalam menangani skandal 1MDB.

[Baca berita penuh]