PMO nafi kerajaan beri tanah kepada Zakir Naik
Pejabat Perdana Menteri (PMO) menafikan dakwaan kononnya kerajaan Malaysia memberi tanah dan slot dalam rancangan televisyen tempatan kepada pendakwah terkenal Dr Zakir Naik.
Menurut kenyataan PMO dakwaan sebuah saluran televisyen berpangkalan di India yang berlegar menerusi beberapa media sosial kononnya kerajaan memberi tanah bagi saluran Peace Channel milik Zakir Naik serta memberi slot untuk pendakwah itu muncul dalam stesyen televisyen tempatan adalah tidak berasas.
“Kami ingin menjelaskan bahawa semua dakwaan itu adalah tidak berasas,” kata PMO. Bagaimanapun, kenyataan tersebut tidak menamakan stesen televisyen yang didakwa membuat dakwaan tersebut.
Pada Jumaat lalau, adalah dilaporkan, Zakir yang disabitkan di India atas kesalahan pengubahan wang haram dituduh oleh Direktorat Penguatkuasa India (ED) memperolehi aset jenayah berjumlah AS$28 juta (RM116 juta).
Walaupun mempunyai puluhan juta pengikut di seluruh dunia termasuk di Malaysia, Zakir sering didakwa menghina agama lain melalui ceramahnya.
Beliau mengasaskan Peace TV pada tahun 2006. Stesen itu bagaimanapun, diharamkan di India, susulan serangan pengganas di Dhaka pada 2016. Beberapa pengendali televisyen kabel di Sri Lanka juga dilaporkan tidak lagi menyiarkan rangkaian tersebut selepas serangan maut pada hari Easter.
Sebelum dakwaan pengubahan wang haram, Zakir menjadi buruan di India atas dakwaan menyemai keganasan dan meyebarkan ucapan berbaur kebencian.
Beliau kini menetap di Malaysia, selepas diberi status penduduk tetap oleh kerajaan BN sebelum ini, sentiasa menafikan melakukan sebarang salah laku dan mendakwa dirinya menentang keganasan.
Beliau juga pernah mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Pakatan Harapan ketika Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad menyatakan bahawa Zakir tidak akan dihantar pulang ke India untuk menghadapi tuduhan selagi dia tidak melanggar undang-undang tempatan.
Dakwanya, imej dirinya dicemari oleh sekumpulan "fanatik agama".






