Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Azmin yakin negara capai sasaran pertumbuhan 4.9 peratus

Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali yakin Malaysia mampu mencapai pertumbuhan 4.9 peratus untuk tahun ini, dengan kembalinya keyakinan pelabur terhadap negara.

"Kita agak optimistik kerana seperti yang disebut perdana menteri, tahap keyakinan pelabur sangat memberangsangkan.

"Melihat statistik terbaru FDI (pelaburan langsung asing) dan DDI (pelaburan langsung domestik), semuanya positif," katanya kepada pemberita ketika ditemui di majlis ucapan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad sempena ulang tahun pertama pentadbiran Pakatan Harapan, di Putrajaya hari ini.

Azmin berkata, ia menunjukkan tahap keyakinan sudah kembali dan akan membantu negara mencapai pertumbuhan yang disasarkan.

Pada 3 Mei lalu, Kementerian Kewangan berkata ia mengekalkan unjuran pertumbuhan 4.9 peratus bagi tahun ini, walaupun indeks pengurus pembelian (PMI) Nikkei terbaru meramalkan tahap perkembangan Malaysia pada 5.2 peratus.

Menterinya Lim Guan Eng berkata, pihaknya mengalu-alukan bacaan terbaru PMI untuk Malaysia, tetapi mengambil langkah berhati-hati dengan mengekalkan unjuran 4.9 peratus.

PMI bagi sektor perkilangan Malaysia meningkat ke 49.4 mata pada April 2019, daripada 47.2 mata pada bulan sebelumnya. Ia merupakan tahap tertinggi dalam tujuh bulan.

Lim berkata lagi, Nikkei juga menunjukkan tahap keyakinan perniagaan pada April lalu berada di tahap tertinggi sejak Oktober 2013.

Ditanya sama ada kerajaan akan kembali melabur dalam projek pembangunan berskala besar, Azmin hanya berkata ekonomi yang lebih kukuh akan membolehkan kerajaan menetapkan keutamaan baru dan menilai semula keputusan untuk menyemak pelbagai projek infrastruktur akibat kekangan kewangan.

Tanpa memperincikannya, beliau berkata beberapa bidang akan dilihat semula termasuk infrastruktur dan pengangkutan awam.

"Tetapi kita perlu pastikan urus tadbir (baik) agar tiada korupsi. Seluruh proses juga perlu telus," katanya lagi.

Dalam wawancara khas dengan media sempena ulang tahun pertama pentadbiran PH hari ini, Mahathir menyifatkan rundingan untuk menurunkan kos ECRL dengan China merupakan salah satu kejayaan kerajaan.

Bulan lalu, Mahathir berkata selain menjimatkan RM21.5 bilion untuk ECRL, kerajaan juga mendapat beberapa konsesi lain daripada syarikat milik kerajaan China, China Communications Construction Company (CCCC).

Dalam ucapan khas hari ini, perdana menteri menggariskan visi "Kemakmuran Bersama" dengan tujuan memastikan negara terus membangun dalam keadaan mapan, serta dengan semangat inklusif.

Lihat Komen
ADS