Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Banyak janji ditunaikan, k’jaan PH tidak gagal

ULASAN l Kerjaan Pakatan Harapan (PH) tidak gagal.

Mengambil kira kerosakan sistemik yang dilakukan oleh pemerintahan kleptokrasi Najib Razak, selama hampir 10 tahun, pencapaian kerajaan PH adalah memuaskan.

Ditambah pula oleh penemuan pelbagai perbuatan jenayah dan penyelewengan yang sebelum ini tidak diketahui.

Dengan latar belakang itu, penunaian janji bagi tempoh daripada 10 Mei 2018 hingga 30 April 2019 sebanyak 39.01 peratus adalah baik dan memuaskan.

Demikian ditegaskan oleh Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad, dalam perutusan perdana sempena satu tahun kerajaan PH di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), semalam.

Kejayaan ini diukur mengikut status kemajuan 464 Inisiatif yang merupakan dasar dan tindakan spesifik yang dinyatakan dalam setiap janji manifesto PH.

Perdana menteri menambah, sebanyak 53 Inisiatif atau 11.42 peratus telah ditunaikan manakala 283 Inisiatif atau 60.99 peratus adalah di peringkat perancangan atau belum mula.

Banyak reformasi undang-undang masa ada sudah dilaksanakan atau dalam proses pelaksanaan. Semua undang-undang yang zalim dan menekan rakyat sudah dibatalkan atau dihentikan penguatkuasaannya.

Pelaksanaan hukum bunuh dihentikan sementara bagi meneliti pendapat rakyat yang tidak semuanya bersetuju dengan penghapusan hukuman itu.

Demikian juga undang-undang berkenaan berita palsu telah digantung sementara menunggu penghapusan. (Penghapusan undang-undang itu gagal setelah ditolak oleh Dewan Negara yang masih dikuasai oleh wakil-wakil lantikan BN).

Media diberi kebebasan sepenuhnya tanpa perlu menunggu arahan atau pesanan dari pemimpin-pemimpin atau orang suruhan mereka di Putrajaya seperti sebelum ini.

Pada zaman Najib, pengarang dan wartawan media arus perdana merujuk kepada arahan tersebut sebagai “wahyu’’.

Perdana menteri berkata, pertumbuhan ekonomi berterusan dan tanda-tanda menunjuk kepercayaan pelabur sudah mula pulih.

Janji untuk kembali kepada perjanjian Malaysia tahun 1963 telah dilaksanakan dan diperakui oleh Kerajaan Pusat dengan mengiktiraf bahawa Malaysia adalah cantuman Sabah, Sarawak dan Semenanjung.

Pengekalan kestabilan dan keaman merupakan kejayaan besar bagi PH kerana banyak pihak khuatir negara akan dilanda rusuhan kaum dan agama jika PH memerintah.

“The Rule of Law” atau pemerintahan mengikut undang-undang jelas diamalkan oleh PH. Pemisahan kuasa antara tiga pihak iaitu pembuat, undang-undang, pelaksana pentadbiran dan kehakiman jelas diamalkan, kata Dr Mahathir.


DATUK A KADIR JASIN adalah bekas ketua pengarang Kumpulan New Straits Times Press (M) Bhd. Beliau kini bergiat dalam Bersatu sebagai pimpinan pusat parti itu.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi redaksi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS