'Hisham dapat manfaat atau tak bergantung siasatan polis, SPRM'
Persatuan Patriot Kebangsaan (Patriot) membidas tindakan bekas menteri pertahanan Hishammuddin Hussein yang mencabar Menteri Pertahanan Mohamad Sabu dan timbalannya Liew Chin Tong, agar membuktikan beliau mendapat manfaat daripada perjanjian "pertukaran tanah" ketika pentadbirannya.
Presiden Patriot Mohamed Arshad Raji berkata, persoalan sama ada Hishammuddin mendapat manfaat atau tidak bergantung kepada siasatan polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Beliau berkata, Hishammuddin pula selaku menteri ketika perkara itu berlaku perlu mengambil tanggungjawab, tanpa mengira sama ada beliau mendapat manfaat atau tidak.
"Patriot menggesa siasatan dibuat dengan cepat dan menteri pertahanan yang berkhidmat antara 1997 hingga Mei 2018 diambil tindakan jika ada asas untuk disyaki.
"Tindakan perlu diambil terhadap pegawai yang gagal memastikan urus niaga itu mematuhi SOP (standard operasi piawai)," katanya dalam kenyataan hari ini.
Hishammuddin mengemukakan cabaran itu semalam ketika mengulas dakwaan bahawa kerajaan kerugian RM500 juta dalam urus niaga itu yang melibatkan 1,186 hektar tanah tentera.
Sesetengah pertukaran tanah turut berlaku ketika kali pertama Dr Mahathir Mohamad menjadi perdana menteri.
Antara tanah yang terlibat terletak di Jalan Ampang di Kuala Lumpur, Tanah Batu Uban (Pulau Pinang), Bukit Raja (Selangor), Plentong (Johor), Tanah Rata (Pahang), Bandar Kinrara (Selangor) dan Stampin (Sarawak).

