Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
DPMM dakwa pemaju, kontraktor Melayu projek PR1MA bakal gulung tikar

Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) mendedahkan pemaju dan kontraktor Melayu terjejas dan berdepan risiko gulung tikar selepas setahun Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) masih gagal menentukan hala tuju barunya.

Pengerusi Dewan Muda DPMM, Mohd Ali Amin Abd Latif, berkata lebih 30 peratus pemaju Melayu yang terbabit dengan projek PR1MA sudah mengeluarkan ratusan juta.

Modal awal dikeluarkan bagi urusan pembelian tanah dan permulaan projek.

"Lebih 30 pemaju dan kontraktor Melayu terbabit dengan projek PR1MA. Mereka datang kepada kami dan memaklumkan kerisauan mereka kerana selepas setahun PR1MA masih tiada hala tuju.

"Daripada jumlah itu, 15 pemaju atau pun kontraktor ini hadir bertemu kami. Ramai berdepan dengan masalah kewangan syarikat dan ada yang berdepan tindakan pihak bank.

"Setiap pemaju ini sudah mengeluarkan sekitar RM10 ke RM15 juta, jadi kami DPMM mahu mendapatkan penjelasan PR1MA berhubung isu ini," katanya dalam sidang media di Kuala Lumpur, hari ini.

PR1MA diwujudkan sewaktu pentadbiran BN oleh bekas perdana menteri Najib Razak.

Kewujudan PR1MA sebagai satu entiti untuk membina rumah mampu milik kepada golongan berpendapatan sederhana di seluruh negara.

Selain itu kewujudan PR1MA juga adalah bertujuan untuk mengangkat kedudukan kontraktor Melayu ke tahap pemaju.

Bekas Presiden Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan (Rehda), Eddy Chen dilantik sebagai Pengerusi Perbadanan PR1MA selepas kerajaan Pakatan Harapan (PH) menguasai Putrajaya.

Oleh itu kata Mohd Ali, PR1MA perlu menyelesaikan segera perkara berbangkit dan memberi kata putusan berhubung kedudukan projek terbabit.

Sekiranya PR1MA berhasrat untuk menghentikan projek berkenaan, pampasan sewajarnya perlu dikeluarkan kepada pemaju yang telah mengeluarkan modal.

"Bila ini berlaku ia memberi kesan kepada semua pihak, pemaju, kontraktor, pembekal dan pihak yang berkaitan lain.

"Bukan itu saja, bila aliran tunai kewangan pemaju itu bermasalah, reputasi mereka juga akan menjadi tidak elok dan menyukarkan mereka untuk mendapatkan projek-projek lain.

Lihat Komen
ADS