Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
13 Mei: Khoo Kay Kim boleh beri gambaran adil, kata Maszlee

Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik berkata tokoh sejarawan yang boleh memberikan gambaran adil dan jelas mengenai peristiwa 13 Mei ialah Dr Khoo Kay Kim.

Bagaimanapun, katanya, peluang untuk mendengar penjelasan daripada tokoh akademik dan pakar sejarah itu tidak lagi boleh diperolehi kerana beliau sudah meninggal dunia.

“Kita berasa sedih kerana orang yang boleh memberikan gambaran yang agak adil dan terperinci daripada isu itu ialah Khoo Kay Kim yang baru meninggal.

“Jadi kita masih berada sedih dengan pemergian beliau,” katanya kepada pemberita di Hotel Marina, Putrajaya hari ini.

Terdahulu Maszlee ditanya mengenai tinjauan Malaysiakini mengenai kefahaman masyarakat terhadap peristiwa pada 1969 itu, dan ingin ia diajar di sekolah.

Daripada tinjauan yang dijalankan pada 15 Mei lalu, 87 peratus responden berkata mereka ingin memahami tragedi 13 Mei dengan lebih baik, dengan kira-kira dalam jumlah yang sama mahukan peristiwa 13 Mei itu diajar di sekolah.

Untuk rekod, peristiwa 13 Mei hanya disebut secara ringkas dalam buku teks tingkatan lima tanpa membincangkan kejadian sebenar dengan terperinci.

Sebagai contoh, antara ayat yang disebutkan dalam buku teks: "Jika pembangunan negara hanya dinikmati oleh sebahagian masyarakat, ia boleh menyebabkan rusuhan kaum seperti peristiwa 13 Mei 1969."

Khoo menghembus nafas terakhirnya semalam akibat jangkitan paru-paru.

Beliau merupakan salah seorang penulis yang merangka Rukun Negara selepas rusuhan kaum pada 1969 itu.

Lihat Komen
ADS