Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Syazlin tarik diri: Ummah buat laporan polis terhadap peguam negara

Gerakan Pembela Ummah (Ummah) hari ini membuat laporan polis terhadap Tommy Thomas kerana mendakwa peguam negara itu campur tangan dalam inkues menyiasat kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim.

Timbalan pengerusi Ummah yang juga anggota jawatankuasa pusat PAS Kamaruzaman Mohamad dalam laporan itu antara lain membangkitkan penarikan diri Syazlin Mansor daripada mewakili Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), selepas 36 hari inkues berlangsung.

"Berdasarkan apa yang berlaku dalam kes Adib, berlakunya tanda tanya yang meragukan pelbagai pihak dalam mencapai maksud keadilan dalam proses inkues kes Adib," katanya dalam laporan itu yang dilihat Malaysiakini.

Menurut laporan itu, Ummah menggesa Thomas disiasat di bawah Seksyen 212 Kanun Keseksaan (berkenaan melindungi pesalah), Seksysn 219 Kanun Keseksaan (menggunakan jawatan secara tidak jujur dan berlawanan dengan undang-undang dalam prosiding) dan Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (salah guna kedudukan sebagai peguam negara).

Laporan dibuat di ibu pejabat polis (IPD) Dang Wangi.

Pada 28 Mei lalu, Thomas berkata nasihat agar Syazlin tidak lagi mewakili KPKT dan bomba kerana wujud konflik kepentingan, memandangkan dia pada masa sama mewakili keluarga Muhammad Adib.

Thomas juga berkata Syazlin sering mengambil kedudukan yang bercanggah daripada kedudukan yang diambil oleh timbalan pendakwa raya.

Syazlin adalah salah seorang daripada lima peguam yang diketuai Kamaruzaman A Wahab, yang mewakili pihak keluarga.

Selain itu, Thomas berkata perkembangan itu tidak menjejaskan status saksi pakar Prof Dr Shahrom Abd Wahid, yang sebelum ini mengatakan Adib mengalami kecederaan selepas ditarik keluar daripada kenderaan EMRS dan dipukul.

Untuk rekod, kenyataan itu bertentangan dengan dua pakar lain yang memberitahu inkues bahawa Adib terjatuh daripada kenderaan, dan kecederaannya akibat rempuhan.


Baca: AG senaraikan empat alasan peguam dinasihat tarik diri


Mengulas penjelasan Thomas, Kamaruzaman mendakwa ia seperti membayangkan peguam negara sudah mempunyai pandangan sendiri tentang inkues dan mahu "semua pihak mengikut pandangannya".

Kamaruzaman ketika sidang media sebelum membuat laporan berkata, pihaknya akan membuat lebih banyak laporan polis terhadap Thomas.

Ummah juga akan menghantar memorandum ke Jabatan Peguam Negara bagi mendesak peletakan jawatan Thomas esok, katanya lagi.

“Dia tidak sesuai untuk jawatan ini dan perlu bertanggungjawab terhadap kacau ganggu dalam kes Adib ini.

“Dapat respon atau tidak, dia ada atau tidak (di pejabat esok), kita nak jumpa juga kakitangan pejabat Peguam Negara esok,” katanya lagi.

Arahan agar Syazlin menarik diri disampaikan melalui surat bertarikh 23 Mei kepada KPKT.

Ia mencetuskan bantahan sejumlah pihak, antaranya Umno dan PAS yang mendakwa Thomas cuba campur tangan dalam inkues dan mendesak suruhanjaya siasatan diraja (RCI) ditubuhkan untuk menyiasat kematian Adib.

Lihat Komen
ADS