Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) memberi jaminan bahawa golongan Orang Kurang Upaya (OKU) di negara ini tidak dipinggirkan.

Ini susulan aduan NGO Kehidupan Bebas dan Pusat Latihan Malaysia (ILTC) yang gagal mengadakan pertemuan dengan menteri KPWKM, Dr Wan Azizah Wan Ismail atau timbalannya Hannah Yeoh untuk menyerahkan memorandum semalam.

Dalam satu kenyataan hari ini, KPWKM berkata telah menerima memorandum itu dan sedang sedang menelitinya.

Tambah kementerian itu, kerajaan sentiasa terbuka dan menyambut baik sebarang cadangan daripada mana-mana pihak untuk penambahbaikan demi pemerkasaan OKU di Malaysia.

Bagaimanapun, KPWKM turut menekankan yang ia sentiasa menjalankan libat urus berterusan dengan golongan OKU termasuklah melalui Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi OKU (MKBOKU) yang bersidang dua kali setahun dan dipengerusikan Wan Azizah.

“Fokus kementerian buat masa ini adalah untuk memastikan penglibatan sekurang- kurangnya satu persen OKU dalam bidang pekerjaan dapat dicapai, satu perkara yang tidak dapat dilaksanakan oleh kerajaan terdahulu,” kata kenyataan itu.

Semalam 20 aktivis ILTC menganjurkan protes di hadapan ibu pejabat KPWKM di Putrajaya setelah mendakwa Wan Azizah dan Yeoh ‘menghilangkan diri’ daripada bertemu mereka.

Sedangkan, menurut mereka, perbincangan lebih awal telah dilakukan dengan pihak kementeiran berkenan kunjungan tersebut.

Lebih menaikkan kemarahan mereka, tempat letak kereta khas OKU di situ telah disalah guna salah seorang kakitangan kementerian tersebut.

Ketika bercakap kepada pemberita dalam sidang media, semalam, Presiden ILTC G Francis Siva menggesa kerajaan mengkaji dan mengemas kini dasar-dasar berkaitan OKU, termasuklah tentang elaun pekerja cacat serta bantuan penjagaan OKU.

Mereka turut meminta agar mereka turut dilibatkan dalam sebarang perbincangan mengenai kebajikan mereka.