PM: PSC tidak boleh berfungsi secara sah
Jawatankuasa Khas Pemilihan Parlimen untuk Pelantikan Jawatan Awam Utama (PSC) tidak boleh berfungsi secara sah memandangkan beberapa peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan perlu dipinda, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.
Beliau berkata kerajaan bercadang untuk mewujudkan PSC tetapi mereka tidak mempunyai majoriti dua pertiga untuk meminda Perlembagaan Persekutuan.
“Jadi buat masa sekarang kita ikut cara lama dalam membuat sesuatu pelantikan iaitu perdana menteri yang membuat keputusan.
“Pihak lain boleh memberikan pendapat tetapi Perdana Menteri yang membuat keputusan,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi di Putrajaya hari ini.

Beliau ditanya sama ada pelantikan Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) akan melalui PSC susulan peletakan jawatan Razali Ismail sebagai pengerusinya pada 16 April lalu.
Menjawab soalan sama ada pelantikan awam yang lain dibincangkan dengan kabinet, Dr Mahathir berkata beliau tidak perlu merujuk kepada mereka.
"Saya boleh meminta pendapat daripada pelbagai orang dan kemudian saya membuat keputusan berdasarkan merit kes itu," katanya.
Mengenai mekanisme subsidi petrol dan diesel yang dijangka dimuktamadkan pada Julai, Dr Mahathir berkata ia akan dilaksanakan kemudian kerana kerajaan belum membuat apa-apa keputusan yang sebenar.
"Mereka hanya sampai ke peringkat mendapatkan data, belum ada keputusan nyata yang dibuat," katanya.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Saifuddin Nasution Ismail sebelum ini berkata kerajaan berhasrat untuk menggunakan data Bantuan Sara Hidup (BSH) mengenai kumpulan B40 bagi mengenal pasti penerima subsidi petrol yang disasarkan.

Turut hadir dalam sidang akhbar itu ialah Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali; Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Saifuddin Nasution Ismail; Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Salahuddin Ayub dan pengerusi Permodalan Nasional Berhad, Zeti Akhtar Aziz.




