Kes amah: Petisyen tuntut penjelasan majikan bebas cecah 28,000 tandatangan
Petisyen Tenaganita untuk menggesa Pejabat Peguam Negara memberi penjelasan penuh berkenaan pembebasan tertuduh dalam perbicaraan kematian pembantu rumah warga Indonesia Adelina Jerima Sau, hampir mencapai sasaran 35,000 tandatangan.
Dengan tajuk "Why is her abuser free? Malaysians demand #JusticeForAdelina", petisyen oleh NGO pejuang hak pekerja dan imigran itu setakat ini telah mengumpul 28,950 tandatangan.
Ambika MA Shan, 61, dituduh mendakwa Adelina, 21, yang meati ketika menerima rawatan di Hospital Bukit Mertajam pada 11 Februari 2018.
Pada 18 April lalu, Mahkamah Tinggi Pulau Pinang membebaskan Ambika, 61, daripada tuduhan bunuh selepas timbalan pendakwa raya meminta dia dilepas tanpa dibebaskan (discharge not amounting to an acquittal atau DNAA).
Pejabat Peguam Negara kini sedang merayu keputusan tersebut.
Sumber yang arif dengan perkara itu hari ini memberitahu Malaysiakini bahawa pihak pendakwaan membuat keputusan itu tanpa berunding dengan Peguam Negara Tommy Thomas.
Menurut laporan terdahulu, Adelina dikejarkan ke hospital selepas dia didapati tidur di luar rumah, bersama anjing peliharaan majikannya.
Dia juga dilaporkan didera majikan dan ditemui jiran dalam keadaan lebam dan bernanah. Dia meninggal dunia sehari selepas dibawa ke hospital.
"Mukanya bengkak, dan dia takut ketika penyelamat datang membantunya. Doktor dan jururawat di hospital terkejut melihat tahap kecederaannya," dakwa petisyen tersebut.
Petisyen itu turut menggesa Pejabat Peguam Negara menjamin keadilan untuk Adelina dan akta untuk pembantu rumah dibentang dan diluluskan di Parlimen secepat mungkin.
"Kami menandatangani petisyen ini kerana tidak boleh menerima lagi seksaan dan keganasan dalam rumah dan kejiranan kami," kata petisyen itu.
Selain Tommy, petisyen itu turut ditujukan kepada Menteri Sumber Manusia M Kulasegaran dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Liew Vui Keong.

