Laskar maya cipta ‘undi tidak percaya’ ke atas Dr M - Kit Siang
Pengkomplot jahat dan laskar maya (cybertrooper) sedang bekerja lebih masa untuk mencipta lebih banyak tipu helah dan pembohongan, kata pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang.
Antaranya, kata Lim, adalah usul tidak percaya akan dibentangkan terhadap Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad semasa sidang Parlimen akan datang yang bermula 1 hingga 18 Julai depan.
"Bulan depan akan membuktikan, usul tidak percaya terhadap Mahathir hanyalah ciptaan imaginasi pengkomplot jahat dan laskar maya mereka,” katanya katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Walaupun Lim tidak menyebut sebarang nama, adalah dipercayai bahawa beliau membuat rujukan terhadap tulisan oleh blogger Raja Petra Kamaruddin, yang mendakwa bahawa Anwar Ibrahim mempunyai jumlah ahli parlimen yang mencukupi untuk menggulingkan Mahathir.
Memetik sumber dari kem Anwar, blogger itu berkata presiden PKR mempunyai sokongan daripada sekurang-kurangnya 37 ahli parlimen dari Sabah dan Sarawak dan 103 lagi dari Semenanjung Malaysia manakala Mahathir hanya mempunyai 40 kerusi dengan 42 lagi yang berkecuali.
"Parlimen akan bersidang tidak lama lagi dan jika Anwar tidak bertindak, maka ini bermakna dia tidak akan menjadi perdana menteri seterusnya.
"Mahathir mempunyai kira-kira dua minggu untuk memutuskan apa yang harus dilakukannya melainkan beliau mahu berundur dan memutuskan untuk bersara.
“Buat masa ini, melainkan jika Mahathir mempunyai peluru emas yang tersembunyi di lengannya, kesimpulannya, lebih kurang bahawa Anwar akan merayakan Krismas di Seri Perdana... akhirnya," katanya.
Sementara itu, Lim mengambil maklum bahawa tidak ada sebarang berita positif sepanjang minggu lalu, yang didominasi oleh skandal seks, yang mengheret sama Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali.






