Ciap palsu gesa jemaah haji 1MDB pulangkan wang, SPRM lapor polis
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuat laporan polis susulan penularan ciapan Twitter palsu menggunakan nama ketua pesuruhjayanya Latheefa Koya.
Ciapan itu kononnya SPRM menuntut jemaah haji yang ditaja menggunakan dana 1MDB supaya memulangkan wang berkenaan.
SPRM dalam kenyataan hari ini berkata laporan itu dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya, pada Isnin lalu.
Suruhanjaya itu menegaskan ciapan berkenaan adalah palsu yang ditularkan oleh pihak tidak bertanggungjawab untuk menjatuhkan imejnya dan menimbulkan keresahan di kalangan masyarakat.
"SPRM memandang serius terhadap dakwaan berkenaan kerana ia boleh menimbulkan panik dan keresahan di kalangan masyarakat," kata SPRM yang turut menasihatkan orang ramai supaya tidak menularkan ciapan palsu itu.






