BERITA Malaysiakini

Umno mungkin panggil Muhyiddin, Shafie

News  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Dua pemimpin kerajaan mungkin akan dipanggil Umno untuk memberi keterangan dalam saman pelucutan hak dilakukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap parti itu.

Setiausaha Agung Umno Annuar Musa berkata ketika parti itu menerima dana yang didakwa berpunca daripada 1MDB, Muhyiddin Yassin dan Mohd Shafie Apdal menjadi sebahagian daripada Jawatankuasa Pengurusan Umno.

Kata Annuar, Muhyddin ialah pengerusi jawatankuasa tersebut manakala Mohd Shafie salah seorang anggotanya.

Untuk rekod Muhyiddin ialah presiden Bersatu dan kini menjadi menteri dalam negeri, manakala Mohd Shafie mengetuai Warisan dan menjadi ketua menteri Sabah.

Sebelum ini kedua-dua mereka masing-masing ialah timbalan presiden Umno dan naib presiden Umno.

Menciap di Twitter hari ini Annuar berkata wang yang didakwa berpunca daripada 1MDB itu dimasukkan ke akaun Umno antara 2011 hingga 2013.

Umno akan kemuka hujah

"Waktu itu Jawatankuasa Pengurusan Umno dipengerusikan Muhyiddin Yassin dan ahlinya termasuk Shafie Apdal.

"Kita (Umno) mungkin terpaksa minta mereka beri keterangan masuk keluarnya wang ketika itu," katanya.


Baca Siapa dalam senarai saman pelucutan hak SPRM?


Pada 21 Jun lalu SPRM mengumumkan langkah mereka mengemukakan permohonan kepada mahkamah untuk melucut hak harta bernilai RM270 juta milik 41 individu dan kumpulan berbeza.

Daripada jumlah itu RM212 juta - atau 78.5 peratus - adalah dituntut daripada bahagian-bahagian Umno di seluruh negara.

Umno pula berkata parti itu akan mencabar prosedur berkenaan di mahkamah.

Pemangku Presiden Umno Mohamad Hasan berkata langkah yang diambil agensi antirasuah itu ialah prosedur biasa selepas akaun Umno dibekukan.


Baca Mukhriz: Saya tak tahu Umno Kedah dapat dana 1MDB


"Itu prosedurnya, selepas setahun (dibekukan), mereka buat permohonan untuk sita wang. Jadi SPRM buat prosedur mengikut lunas undang-undang

"Umno mesti mengemukakan hujah mengapa duit tersebut perlu dipulangkan kepada kita. Kami akan lakukan," katanya kepada media di Muktamar PAS ke-65 di Kuantan, 21 Jun lalu.

Semalam Presiden Gerakan Dominic Lau menggesa Menteri Kewangan Lim Guan Eng mengeluarkan tuntutan kepada Muhyiddin dan Mohd Shafie - selain Menteri Besar Kedah Mukhriz Mahathir - mengembalikan dana 1MDB yang diterima mereka.

Katanya Badan Perhubungan Umno Sabah, Johor dan Kedah adalah antara pihak yang ada dalam senarai dikeluarkan SPRM baru-baru ini.

"Shafie masih menjadi naib presiden Umno ketika skandal (1MDB) terbongkar manakala ketua Umno Johor ialah Muhyiddin dan Mukhriz di Kedah," katanya.