Keputusan representasi Peguam Umno kaji pertuduhan 15 Julai
Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini menetapkan 15 Julai untuk mengetahui keputusan representasi yang dikemukakan Penasihat Undang-Undang Umno Mohd Hafarizam Harun bagi mengkaji pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM15 juta yang dihadapinya.
Hakim Azman Ahmad menetapkan tarikh tersebut selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya Ashrof Adrin Kamarul supaya memberi lebih masa kepada Jabatan Peguam Negara untuk meneliti dokumen representasi tersebut, semasa sebutan kes hari ini.
“Sepatutnya hari ini adalah untuk mendengar keputusan representasi tersebut. Namun, pihak pendakwaan memohon satu tarikh sebutan baru kerana masih belum dapat keputusan daripada Jabatan Peguam Negara,” katanya.
Peguam Hasnal Rezua Merican yang mewakili Mohd Hafarizam tidak membantah permohonan itu.
Ketika ditemui media, Ashrof berkata pihak peguam menfailkan representasi bagi membolehkan pertuduhan terhadap Mohd Hafarizam dikaji dan diteliti semula.
Pada 21 Feb lepas, Mohd Hafarizam mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan di bawah Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.
Dia didakwa mendeposit dua keping cek daripada bekas Perdana Menteri Najib Razak bernilai RM11.5 juta ke dalam akaun bank milik firma guamannya, Hafarizam Wan & Aisha Mubarak, antara 16 April and 4 Nov, 2014.
Peguam itu juga dituduh mendeposit cek bernilai RM3.5 juta daripada Najib ke dalam akaun sama pada 12 Feb, 2015.
Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di cawangan CIMB Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di Kuala Lumpur.
- Bernama




