Kerajaan sepatutnya memberikan kuasa tambahan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) untuk menangkap seseorang yang memiliki kekayaan luar biasa dan mencurigakan, kata Ezam Mohd Nor.

Katanya tidak sukar untuk menyiasat seseorang yang menimbunkan harta haram kerana biasanya secara terang-terangan memiliki rumah dan mahligai dalam dan luar negara.

"Mereka juga suka dan sering mempamerkan harta haram mereka dengan membelanjakannya untuk membeli kereta mewah atau membiayai kenduri anak menantu dengan gaya mewah," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dia yang kini mengetuai kumpulan dinamakannya sebagai Perjuangan Negara Antirasuah (Perjuangan Negara) berkata demikian sebagai mengulas usaha kerajaan PH membawa rang undang-undang (RUU) baru bagi mewajibkan semua anggota parlimen mengisytiharkan harta.

RUU itu dibentang untuk kali pertama di Dewan Rakyat hari ini oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Liew Vui Keong.

Jika ia diluluskan dan dikuatkuasakan nanti seseorang yang gagal mengisytiharkan harta secara benar boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tiga tahun, dan denda.

Kata Ezam LHDN sudah mempunyai asas untuk melaksanakan tugas tersebut dan dengan sedikit pengubahsuaian terhadap kuasa mereka, langkah yang diingini kerajaan dapat dicapai.


Baca PAS: Isytihar harta boleh timbulkan rasa dengki


"Dengan kuasa tambahan yang diberikan parlimen, LHDN boleh memulakan siasatan tanpa perlu ada laporan terhadap penjenayah itu.

"Dalam erti kata lain, kita memberi kuasa kepada LHDN bertindak proaktif," katanya yang pernah dilantik kerajaan BN untuk menjadi pengarah komunikasi Kementerian Kewangan.

Ezam berkata kuasa tambahan yang ada pada LHDN juga akan mengubah orientasi badan itu untuk fokus mencari setiap individu yang telah mengumpul harta secara haram dengan segera.

"Ia juga memberi ruang dan kuasa kepada LHDN untuk memain peranan membantu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam usaha mereka menangkap penjenayah rasuah.

"Hal ini kerana Akta SPRM hanya fokus kepada pemberian dan penerimaan rasuah yang sukar dibuktikan di mahkamah.

"Proses pembuktian yang rumit menyebabkan ramai perasuah terlepas bebas," katanya.