Malaysiakini
BERITA

Ketua PAC mahu mesyuarat pembentangan maklum balas MOF

Diterbitkan

Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) akan memperkenalkan Mesyuarat Pembentangan Maklum Balas Kementerian Kewangan (MOF) untuk memastikan kerajaan memaklumkan setiap tindakan yang diambil terhadap rumusan dan syor dalam laporan PAC.

Pengerusinya Noraini Ahmad berkata MOF sebelum ini menghantar maklum balas secara bertulis terhadap rumusan dan syor laporan PAC, namun tiada sebarang pembentangan dibuat menyebabkan anggota-anggota PAC tidak dapat mengetahui maklum balas berkenaan secara lebih mendalam.

"Melalui mesyuarat pembentangan ini, anggota-anggota PAC berpeluang bertanyakan soalan terhadap setiap maklum balas yang diambil berdasarkan rumusan serta syor daripada laporan jawatankuasa ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Noraini berkata buat permulaan, PAC menetapkan 16 Julai ini bagi MOF hadir dalam mesyuarat pembentangan maklum balas dan surat telah dihantar kepada Ketua Setiausaha Perbendaharaan.

Katanya MOF diminta membentangkan maklum balas terhadap rumusan serta syor laporan PAC berhubung Pengurusan Projek Pembangunan Semula Kemudahan Sedia Ada di Kompleks Sukan Negara Bukit Jalil (Projek 1) di bawah kaedah Public Private Partnership dan juga laporan PAC berhubung Pengurusan Marina Awam.

"Selepas mendengar pembentangan maklum balas ini, saya dan anggota-anggota PAC akan berbincang sama ada maklum balas ini perlu dibentangkan ke Dewan Rakyat atau tidak, bagi membolehkannya menjadi dokumen awam serta boleh diakses oleh rakyat,” katanya.

Noraini berkata keputusan untuk membentangkan laporan maklum balas itu terletak dalam bidang kuasa Yang Dipertua Dewan Rakyat.

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.

Iklan