Jika tiada aral melintang, piagam bersama yang merasmikan kerjasama Umno dan PAS akan ditandatangani seawal tiga atau empat minggu lagi.
Demikian dibayangkan Setiausaha Agung Umno, Annuar Musa, semalam.
Menurut Annuar kedua-dua pihak dijangka memuktamadkan draf dan dokumen berkaitan piagam tersebut dalam pertemuan 10 Julai ini.
Dalam tempoh empat hari lagi, katanya, draf tersebut akan diserahkan kepada presiden Umno dan PAS sebelum mereka mencari tarikh yang sesuai bagi melancarkannya.
“Insya-Allah pada 10 hari bulan (Julai) jawatankuasa induk akan finalise (muktamadkan) draf akhir piagam serta dokumen MoU (memorandum persefahaman) yang akan ditandatangani oleh kedua-dua presiden yang dijangka awal Ogos," katanya seperti dipetik Utusan Online.
PAS sudah mendapat mandat daripada perwakilan muktamar untuk meneruskan langkah taawun dan tahaluf siyasi dengan Umno baru-baru ini.
Menurut Presiden PAS Abdul Hadi Awang buat masa ini mereka dalam proses taawun sebelum hubungan secara tahaluf dicapai.
Baca 'Kenal saya tak? Saya Yang Berhormat tau'
“Usul (dalam muktamar) itu mengizinkan semua - mengizinkan taawun, mengizinkan tahaluf,” jelasnya di Kuantan pada 23 Jun lalu.
Pada masa sama, Presiden PAS Abdul Hadi Awang mengakui secara tidak langsung wujud bantahan daripada anggota parti namun menganggap ia sebagai "suara terpencil" dan "terlalu sedikit" serta "baru" bersama parti berkenaan.
Menjelang detik itu Umno juga menunjukkan perkembangan baru apabila Dr Ahmad Zahid Hamidi - yang menggerakkan secara terbuka usaha ke arah kerjasama dengan PAS - menamatkan percutiannya dan menyambung tugas sebagai presiden Umno pada 30 Jun lalu.
Annuar berkata usaha penyatuan tersebut memang menunjukkan perkembangan positif.
Bercakap di Kuala Terengganu semalam, katanya, majlis perasmian kerjasama itu akan diadakan serentak dengan program penyatuan ummah yang dirancang berlangsung bulan depan.
Agar menjadikan ia kenyataan, kata Annuar, Anggota Parlimen Pasir Salah Tajuddin Abdul Rahman, dilantik sebagai wakil Umno untuk berunding dengan PAS dan merancang perhimpunan tersebut.
