Malaysiakini
BERITA

Azmin langgar konsensus PH, kata pensyarah

Diterbitkan

Seorang pensyarah Universiti Teknologi Malaysia (UTM) hari ini tampil mendakwa pendirian Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali yang mahu Dr Mahathir Mohamad kekal sebagai perdana menteri sehingga akhir penggal melanggar konsensus dalam Pakatan Harapan (PH).

“Kenyataan Azmin mampu mencetuskan krisis yang lebih besar dan mencetuskan ketidakstabilan dalam parti.

“Ini kerana Azmin akan dianggap sebagai mengkhianati parti sendiri dan akan mencetuskan bantahan dari penyokong-penyokong Anwar,” kata Pensyarah Kanan Bahagian Politik dan Polisi Awam, Pusat Perdana, UTM, Dr Mazlan Ali yang dipetik oleh portal Utusan Online.

Dr Mazlan Ali, Pensyarah Kanan Bahagian Politik dan Polisi Awam, Pusat Perdana, UTM 

Azmin yang juga adalah menteri ekonomi, hari ini dilaporkan berkata Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad perlu diberi peluang memimpin negara hingga ke akhir penggal bagi menjamin kestabilan, kesinambungan dan ketuntasan dasar-dasar kerajaan.

Beliau berkata demikian bagi mengalu-alukan kenyataan Presiden PAS Abdul Hadi Awang yang menegaskan pendirian parti itu dan sekutunya Umno kepada Mahathir.

Mengikut konsensus dalam PH, Mahathir akan menyerahkan teraju kepimpinan negara kepada Presiden PKR Anwar Ibrahim. Namun tiada tempoh masa khusus dinyatakan.

Sementara itu, kata Mazlan, krisis berpanjangan dalam PKR tidak akan menjejaskan kedudukan Dr Mahathir sebagai perdana menteri selagi beliau kekal mendapat sokongan majoriti di Dewan Rakyat.

Bagaimanapun, katanya, krisis itu boleh sedikit merencatkan usaha kerajaan untuk memberi fokus pembangunan, meningkatkan ekonomi negara,membantu menambah pendapatan rakyat dan menurunkan kos sara hidup.

“Krisis yang berpanjangan dalam PKR akan mengurangkan sokongan rakyat kepada PH yang mungkin jemu melihat gelagat ahli-ahli politik yang lebih banyak bermain politik sedangkan rakyat mahu kerajaan memberi fokus kepada usaha mewujudkan kestabilan politik dan kemakmuran ekonomi,” katanya.

Selepas memenangi pilihan raya umum tahun lalu, Dr Mahathir berkali-kali berdepan soalan berkaitan tempoh masa penyerahan kuasa itu dan berjanji akan mengotakannya.

Bagaimanapun, pada masa yang sama, partinya Bersatu makin giat menambah kerusi parlimen dengan menerima kemasukan wakil rakyat Umno yang berpaling tadah.

PAS, walaupun menjadi pembangkang, berjanji akan memberikan sokongan di Dewan Rakyat sekiranya terdapat undi tidak percaya dikemukakan di parlimen.

Beri pendapat anda!

Jadi pelanggan Malaysiakini untuk menjadi pengulas berita. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.