Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mahkamah dengar kes lucut harta Umno Johor pada 4 Okt

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menetapkan 4 Oktober ini untuk mendengar permohonan pendakwaan untuk melucut hak harta yang dirampas daripada Badan Perhubungan Umno Johor dan Parti Demokratik Liberal (LDP) Sabah yang didakwa berkaitan dengan skandal penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Kerajaan memohon untuk melucut hak wang RM677,872.55 dari Badan Perhubungan Umno Johor dan LDP Sabah berjumlah RM509,560.96.

Wang berkenaan adalah sebahagian harta disita SPRM tahun lalu, kerana ia berkaitan dengan skandal penyelewengan dana 1MDB.

Rampasan harta terbabit dibuat mengikut Seksyen 56 (1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Hakim Collin Lawrence Sequerah menetapkan tarikh itu ketika prosiding kes berkenaan yang turut dihadiri Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Nik Haslinie Hashim.

Terdahulu Hakim Sequerah turut menetapkan 4 September ini sebagai tarikh pengurusan kes dan perwartaan berhubung permohonan kerajaan untuk melucut hak harta disita daripada Umno Johor yang dikaitkan dengan skandal penyelewengan dana 1MDB.

Ia bagi membolehkan pendakwa raya mewartakan notis kepada pihak ketiga yang mempunyai kepentingan terhadap wang terbabit untuk tampil di Mahkamah Tinggi dan menunjukkan sebab mengapa harta itu tidak boleh dilucut hak kepada kerajaan.

“Mahkamah menetapkan 4 September bagi pengurusan kes dan tarikh merwartakan notis untuk memanggil pihak ketiga (yang berkepentingan keatas wang milik 1MDB) dan perbicaraan kes tersebut pada 4 Oktober ini,” kata Timbalan Pendakwaraya Nik Haslini Hashim.

Umno Johor diwakili peguam Mohd Haziq Dhiyauddin Razali.

Sementara itu di kamar yang sama, Hakim Collin Lawrence Sequerah menetapkan 19 Ogos bagi Parti Demokrasi Liberal Sabah LDP untuk memfailkan afidavit balasan berkaitan permohonan untuk melucutkan harta yang dirampas daripada pihak tersebut.

Lihat Komen
ADS