Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Bayi jadi mangsa seksual, mereka goda lelaki juga?'
Diterbitkan:  Jul 31, 2019 8:47 PM
Dikemaskini: 12:48 PM

Cadangan senator PKR supaya undang-undang gangguan seksual bagi "melindungi" kaum lelaki daripada tergoda melakukan serangan seksual terhadap wanita meenerima banyak kritikan.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat Hannah Yeoh turut terkejut dengan kenyataan Mohd Imran Abd Hamid itu.

"Bayi dan kanak-kanak turut menjadi mangsa jenayah yang sama. Mereka tidak tahu bagaimana untuk menggoda lelaki, tetapi mereka termasuk dalam statistik itu.

"Tuhan tidak menjadikan manusia sama dengan binatang. Manusia diberi kuasa untuk membuat keputusan, berfikir, untuk mengawal perasaan .

"Saya kagum Dewan Negara mengadakan perbincangan sedemikian, malah dipersetujui Timbalan Yang di-Pertua (Dewan Negara) Abd Halim Abd Samad," kata Yeoh kepada Malaysiakini.

Terdahulu, Imran mencadangkan undang-undang gangguan seksual diwujudkan untuk melindungi kaum lelaki daripada tergoda dan terjebak dengan jenayah seperti rogol.

Ini bukan kali pertama Imran membuat kenyataan sedemikian. Pada tahun 2015, Imran yang merupakan anggota parlimen Lumut ketika itu berkata "pakaian seksi" atlet boleh mengundang zina.

Yeoh berkata wanita tidak patut dipersalahkan kerana pakaian mereka, sambil menyatakan wanita yang menutup badan juga menjadi mangsa gangguan seksual dan rogol.

Beliau menambah bahawa lelaki juga boleh diperkosa oleh lelaki lain.

“Sepatutnya, harus ada permintaan maaf kepada semua wanita bagi komen yang tidak menyenangkan itu,” katanya.

Sementara itu, penasihat Lawyers for Liberty (LFL) N Surendran berkata kenyataan itu “mengejutkan” dan menyifatkan Imran memerlukan bantuan kaunseling.

"Kenyataannya itu adalah penghinaan kepada partinya, PKR.

“Kenyataan sebegini mengiyakan keganasan seksual terhadap wanita," katanya kepada Malaysiakini, sambil meminta kenyataan itu ditarik semula.

Pengarah Eksekutif Sister In Islam, Rozana Isa turut memberikan reaksi sama dan mengatakan kaum lelaki sepatutnya bijak mengawal fikiran, perkataan, perbuatan mereka dan tidak pandang remeh jenayah terhadap golongan wanita.

“(Pandangan itu) Ia seolah-olah lelaki tidak mempunyai keupayaan untuk berfikir sendiri dan membezakan antara yang betul dan yang salah.

“Gangguan seksual dan rogol adalah perbuatan keji terhadap wanita dan lelaki mesti bertanggunjawab jika mereka melakukan jenayah ini, tanpa mengira apa yang wanita tersebut pakai,” katanya. 

Lihat Komen
ADS