Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Isu Jawi: Ramasamy bidas Dr Mahathir, Maszlee
Diterbitkan:  Aug 6, 2019 12:27 PM
Dikemaskini: 8:13 AM

Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang Prof Dr P Ramasamy hari ini membidas Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dan Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik berhubung pelaksanaan pengenalan tulisan Jawi dalam buku teks bahasa Melayu di sekolah Cina dan Tamil.

Tanpa menapis kata-katanya, Ramasamy, berkata adalah sukar untuk mempercayai bahawa Dr Mahathir mahu memaksa pembelajaran tulisan Jawi tanpa memahami akibatnya ke atas masyarakat majmuk di Malaysia.

"Saya sukar untuk mempercayai bahawa perdana menteri yang begitu moden dan mempunyai matlamat menjadikan Malaysia sebagai negara maju mahu memaksa penguatkuasaan pelaksanaan khat tanpa memahami akibatnya dalam masyarakat yang terbahagi dan pelbagai seperti di Malaysia,” tulisnya dalam satu hantaran di Facebook.

Mengenai Maszlee pula, Ramasamy berkata, tidak ada gunanya bercakap mengenai menteri pendidikan itu.

"Tak ada gunanya bercakap tentang menteri pendidikan yang bukan sahaja merosakkan kemasukan matrikulasi tetapi telah menegur bukan Melayu kerana tidak memberikan peluang yang sama kepada orang Melayu dalam sektor swasta," kata Ramasamy.

Ramasamy yang juga adalah ahli jawatankuasa eksekutif (CEC) DAP turut menyindir Maszlee yang dianggap telah hilang kredibiliti.

Gambal fail - Dr Mahathir dan Dr Maszlee

“Setelah hilang kredibiliti dia begitu berani untuk mengatakan bahawa khat tidak mempunyai sebarang kaitan dengan Islam.

“Isu di hadapan kita adalah kenapa kerajaan begitu bersemangat untuk melaksanakan tulisan Jawi tanpa sebarang rundingan yang sewajarnya,” katanya.

Menurut Ramasamy, cadangan memperkenalkan tulisan Jawi di sekolah tanpa sebarang perundingan dengan pihak yang berkepentingan boleh diibaratkan sebagai 'meletakkan pedati di hadapan kuda'.

"Sekiranya langkah ini disepadukan dalam sukatan pelajaran sekolah rendah semasa pentabiran Barisan Nasional kenapa secara membuta tuli kini dilaksanakan.

“Mengapakah dasar BN yang tidak betul telah diterima secara tidak kritikal?" soal Ramasamy.

Lihat Komen
ADS