Selepas lebih 10 jam memberi keterangan di Bukit Aman, pendakwah kontroversi dari India, Dr Zakir Naik, tidak kelihatan keluar dari bangunan Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia itu.

Difahamkan Zakir bersama penguamnya memasuki Bukit Aman dengan Mercedes Benz hitam pada jam 3.15 petang melalui pintu kedua.

Bagaimanapun, sehingga 1 pagi petugas media yang menunggu di depan pintu masuk utama Bukit Aman gagal bertemu pendakwah terbabit walaupun dia dipercayai akan memberi kenyataan selepas proses siasatan berakhir.

Lebih 20 pengamal media mula menunggu di pintu utama Bukit Aman sejak jam 2.30 petang tadi dan mereka akhirnya meninggalkan kawasan tersebut kira-kira jam 1.15 pagi.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Huzir Mohamed dalam satu kenyataan berkata, Zakir datang bersama peguamnya, Akhberdin Abdul Kader.

"Keterangan Zakir diambil bermula jam 3.15 petang sehingga 7 petang dan disambung semula selepas dia selesai solat maghrib.

"Rakaman percakapan Zakir diambil mengikut Seksyen 112 Kanun Prosedur Jenayah," katanya.

Pada 16 Ogos lalu, Zakir memberi keterangan di Bukit Aman buat kali pertama untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan atas tuduhan menghina dan menggugat ketenteraman awam.

Zakir dalam ceramahnya di Kota Bahru, Kelantan pada 3 Ogos lepas dilaporkan membuat kenyataan kontroversi mengenai penganut Hindu dan kaum Cina di Malaysia.

Beliau dilaporkan mendakwa penganut Hindu di negara ini lebih setia kepada Perdana Menteri India Narendra Modi, berbanding Perdana Menteri Malaysia Dr Mahathir Mohamad.

Beliau juga dilaporkan membuat kenyataan kritis terhadap kaum Cina Malaysia dengan berkata mereka perlu terlebih dahulu keluar dari negara ini.

Zakir bagaimanapun berkata kenyataannya dipetik di luar konteks.

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad sebelum ini mempertahankan Zakir dari gesaan untuk menghantarnya pulang ke India bagi berdepan pertuduhan pengubahan wang haram dengan mengatakan bahawa pendakwah itu mungkin tidak mendapat perbicaraan adil di negaranya.

Bagaimanapun, susulan kenyataan Zakir berhubung masyarakat Cina dan India di Malaysia, Dr Mahathir berkata pendakwah itu cuba bermain 'politik kaum'.

Pengerusi PH itu juga berkata status penduduk tetap Zakir akan ditarik balik jika siasatan polis mendapati ucapannya menjejaskan negara.