Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) New Straits Times Press (NSTP) tampil membuat kutipan dana bagi membantu pekerja Utusan Melayu (M) Bhd (Utusan) yang berdepan tunggakan gaji.

Menurut Pengerusi NUJ NSTP, Farah Marshita Abdul Patah dia berharap dana yang dikumpul dapat bantu meringankan beban pekerja di syarikat Utusan.

“Kami melakukan dana melalui kutipan wang dan juga barang oleh orang ramai dari pagi tadi sehingga ke petang.

“Hari ini, cek sahaja kami sudah dapat kumpul sebanyak RM20,000 untuk diberikan kepada mereka (pekerja Utusan),” katanya ketika ditemui di Balai Berita, Kuala Lumpur hari ini.

Farah turut berterima kasih kepada pihak lain yang turut hadir bagi menghulurkan bantuan.

Barangan seperti beras, lampin, gula, telur dan makanan ringan antara yang dihulurkan oleh beberapa pihak antaranya dari Kumpulan The New Straits Times Press (M) Bhd, wakil dari PAS pusat, NGO Malaysian Outreach Volunteer dan beberapa rakan artis.

Kutipan dana selama enam jam itu turut dibantu oleh pihak NUJ dan rakan media yang hadir.

Kutipan yang berakhir sekitar jam 4.30 itu kemudiannya dimasukkan ke dalam lori untuk ke pejabat Utusan bagi menyalurkan bantuan ke sana.

Beberapa hari lalu tersebar ura-ura syarikat berkenaan akan ditutup atau sekurang-kurangnya tidak lagi mencetak akhbar harian untuk menumpukan operasi secara dalam talian.

Pekerja syarikat itu pula dikatakan tidak menerima gaji selama tiga bulan, manakala bekas kakitangan yang memilih menyertai skim pemisahan sukarela (VSS) belum mendapat bayaran penuh pampasan masing-masing.

Terdahulu Setiausaha Agung NUJ, Chi Sung Chew berkata terdapat pekerja Utusan kini yang menjadi buruan bank dan ada yang terpaksa menggantikan susu anak kecil dengan sirap kerana masalah kewangan.

Pada 19 Ogos lalu, kira-kira 100 kakitangan dan bekas pekerja mengadakan piket di luar ibu pejabat syarikat penerbitan itu.

Bagaimanapun, Pengerusi Eksekutif Kumpulan Utusan Melayu, Abd Aziz Sheikh Fadzir, kemudian mengumumkan operasi syarikat itu tidak akan ditutup dan akhbar harian itu akan diterbitkan seperti biasa.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS Pusat Mohd Faizal Che Yusof berkata, sumbangan yang diberi atas dasar prihatin dengan nasib yang menimpa kakitangan syarikat itu.

“Kita beri sumbangan cek bernilai RM2,000 atas dasar prihatin dan utusan ni satu media yang ada nostalgia sendiri dan patut dikekalkan.

“Apa sahaja berlaku kepada Utusan adalah sebab persepsi umum dan menjadi mangsa politik dan kita harus bantu meringankan beban mereka,” katanya.

Untuk rekod akhbar terbitan Utusan Melayu berdepan masalah jualan, sama seperti semua penerbitan harian bercetak di negara ini.

Pada masa sama syarikat itu juga terpaksa mengeluarkan belanja besar untuk membayar saman atau pampasan selepas kalah dalam beberapa kes di mahkamah.

Sebelum ini Utusan Melayu dilihat menjadi suara Umno dalam menyerang parti-parti pembangkang.

Namun ekoran kemenangan PH dalam PRU ke-14 pada Mei tahun lalu nasib syarikat itu merudum dengan ketara dan Umno sudah pun melepaskan kepentingan sahamnya dalam syarikat berkenaan.

Lihat Komen
ADS