Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Ngeh pertahan dakwaan bayaran RM100k kes rogol exco Perak
Diterbitkan:  Aug 24, 2019 3:27 PM
Dikemaskini: 7:27 AM

Penasihat DAP Perak, Ngeh Koo Ham mempertahankan dakwaaanya bahawa seorang lelaki dibayar RM100,000 untuk membawa seorang pembantu rumah Indonesia membuat tuduhan rogol terhadap exco negeri Paul Yong.

Ngeh, yang telah membuat laporan polis, berkata dia bertanggungjawab melaporkan perkara tersebut kerana jenayah mungkin berlaku.

"Saya mempunyai kewajipan untuk membuat laporan polis.

"Kerana saya telah menerima maklumat mengenai perkara itu, saya mempunyai alasan untuk mempercayai bahawa kesalahan telah dilakukan," katanya dipetik sebagai berkata oleh The Star Online.

Ngeh berkata demikian sebagai mengulas gesaan Ketua Pembangkang Ismail Sabri Yaakob yang menuduh Ngeh, yang juga Speaker dewan negeri Perak, cuba untuk mengganggu proses undang-undang.

Ngeh membuat dakwaan itu sehari sebelum Yong didakwa di mahkamah atas tuduhan merogol pembantu rumah Indonesia berkenaan.

Yong semalam mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan itu.

"Adakah tugas Ngeh untuk melindungi mangsa atau pemangsa?

"Tindakan Koo Ham dilihat seolah-olah cuba mengganggu proses undang-undang," kata Ismail.

Bagaimanapun, Ngeh berkata Ismail sebagai peguam seharusnya lebih faham kes berkenaan.

"Maklumat (tentang dakwaan bayaran RM100,000) itu juga diberikan dengan kehadiran beberapa wakil rakyat lain dan saya mempunyai sebab untuk mempercayai bahawa maklumat itu boleh dipercayai.

"Kami mempunyai kewajipan untuk melindungi semua mangsa, termasuk rogol dan tuduhan palsu," katanya dipetik sebagai berkata.

Lihat Komen
ADS