Paling Popular
Terkini

Dr Mahathir Mohamad hari ini menafikan kerajaan PH kini semakin bergerak jauh daripada kesederhanaan, sebaliknya menganggap dakwaan itu datang daripada persepsi orang ramai.

Bercakap kepada media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Kepimpinan Tertinggi Bersatu di Putrajaya hari ini perdana menteri berkata memang ada cubaan untuk memecah-belahkan gabungan itu menggunakan isu tertentu.

"Dan sesetengah ahli (PH) - yang bukan anggota kabinet - membuat kritikan terhadap kepemimpinan.

"Nampak macam ada rasa tidak puas hati terhadap kerajaan sekarang. Mereka terfikirkan mengenai beberapa perubahan," katanya.

Namun menurut Mahathir, langkah itu adalah tidak baik kerana ia boleh menyebabkan gabungan berkenaan akan terpecah.

"Penting untuk kita menunjukkan bahawa (gabungan ini) bersatu dan kita mematuhi semua janji yang dibuat semasa membentuk kerajaan," tambah beliau.

Anggota parlimen Langkawi itu juga memberitahu beliau mengadakan perbincangan dengan pemimpin PH bagi mengatasi cubaan memecahkan gabungan itu dari dalam.

Kata Mahathir beliau berbincang tentang hal itu bersama Anggota Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang; serta Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong.

Turut hadir, kata beliau, ialah Ketua Pemuda Bersatu yang juga Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

"Kami berbincang kerana kami berasakan orang ramai membincangkan isu perkauman dengan perasaan marah dan itu tidak baik," katanya.

Selain itu Mahathir juga bertemu Presiden PKR, Anwar Ibrahim, bagi mencari jalan membawa semua pihak agar bersederhana dalam pendirian politik masing-masing.

[Baca berita penuh]

Sementara itu, Bernama melaporkan Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Dr Mahathir Mohamad hari ini berkata gabungan itu tidak menyimpang daripada landasan.

"Itu hanya persepsi mereka di luar," kata Perdana Menteri ketika ditanya sama ada PH telah menyimpang selepas Lim Kit Siang dilaporkan bertemu dengan beliau baru-baru ini untuk menggubal naratif baharu untuk PH.

Ketika ditemui pemberita selepas mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini, Dr Mahathir berkata Lim datang berjumpa dengannya untuk berbincang mengenai isu perkauman yang dibincangkan secara negatif.

"Kami berpendapat orang ramai membincangkan isu berbaur perkauman dengan perasaan marah dan itu tidak sihat," katanya.

Ketika ditanya mengenai sentimen rakyat untuk Hari Kebangsaan tahun ini, Dr Mahathir berkata sentimen itu berbeza sekarang berbanding tahun lepas.

"Pada masa itu (tahun lepas) rakyat berasa selesa dengan penyingkiran kerajaan terdahulu dan mereka tidak melihat siapa yang membuat apa-apa ucapan," katanya.

Sekarang, beliau berkata rakyat mahu melihat keputusan yang mereka jangkakan dan ia tidak mudah dicapai.

Perdana Menteri berkata banyak perkara yang PH dijanjikan sebelum ini dibuat tanpa maklumat yang tepat contohnya mengenai hutang kerajaan, ia tidak menyedari bahawa jumlahnya lebih daripada RM1 trilion.

Dr Mahathir berkata kerajaan PH juga tidak dapat memberi bantuan RM450 kepada golongan bujang tidak seperti kerajaan terdahulu.

"Kami (PH) tidak mempunyai apa-apa untuk diberikan secara percuma bagi mendapatkan sokongan. Kita tidak boleh melaksanakan perkara ini kerana kita tidak seperti itu, " kata Dr Mahathir.

Lihat Komen
ADS