Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menetapkan 25 Okt untuk mendengar semakan kehakiman oleh Najib Razak bagi menyingkirkan bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Gopal Sri Ram daripada mengetuai pasukan pendakwaan dalam perbicaraan terhadap bekas perdana menteri itu.

Tarikh itu juga ditetapkan untuk pendengaran permohonan semakan kehakiman oleh Muhammad Shafee Abdullah bagi menyingkirkan Sri Ram daripada pendakwaan dalam kes jenayah membabitkan peguam veteran berkenaan.

Perkara ini disahkan oleh peguam Muhammad Farhan Muhammad Shafee selepas pengurusan kes di kamar Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Mariana Yahya hari ini.

"Pendengaran semakan kehakiman ditetapkan pada 25 Oktober pada jam 3 petang," kata Farhan kepada wartawan selepas prosiding.

Beliau berkata mereka juga telah memaklumkan kepada mahkamah bahawa mereka telah menyerahkan kertas kausa kepada tiga responden dengan menamakan Peguam Negara / Pendakwaraya Malaysia, kerajaan Malaysia dan Sri Ram.

Pada 26 Ogos lepas, Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan Najib dan Shafee untuk meneruskan semakan kehakiman mereka.

Mahkamah rayuan sebelum itu menterbalikkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 20 Feb yang menolak permohonan kedua-dua mereka untuk meneruskan semakan kehakiman.

Pada 7 Ogos, panel hakim Mahkamah Persekutuan yang diketuai Ketua Hakim Negara, Tengku Maimun Tuan Mat menolak permohonan Najib untuk melucutkan kelayakan Sri Ram yang mengetuai pasukan pendakwaan dalam kes 1MDB terhadap bekas perdana menteri itu.

[Baca berita penuh]