Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Shahrol: Jho Low jadi penasihat Terengganu dan Najib
Diterbitkan:  Sep 23, 2019 4:36 PM
Dikemaskini: 9:26 AM

KES 1MDB NAJIB l Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur diberitahu hari ini bahawa Jho Low bertindak sebagai penasihat kepada kedua-dua kerajaan negeri Terengganu dan kerajaan persekutuan ketika pembentukan Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA), yang kemudiannya dijenamakan sebagi 1MDB.

Justeru, kata saksi kesembilan pendakwaan perbicaraan kes 1MDB yang masuk hari ke-11 itu, Shahrol Azral Ibrahim Halmi, ini memberi kuasa kepada Jho Low bagi mempengaruhi operasi syarikat terutamanya dalam pelaburan dan mengumpul dana.

"Dia tak ada sebarang kuasa pengurusan rasmi dalam TIA tapi boleh mempengaruhi keputusan peringkat eksekutif kerana dia mewakili kedua-dua pihak, iaitu Tuanku Mizan (Sultan Terengganu) and Datuk Seri Najib Razak," kata bekas ketua pegawai eksekutif 1MDB itu yang membacakan penyataan saksinya.

Ketika TIA diperbadanankan pada awal 2009, Sultan Mizan Zainal Abidin adalah sultan negeri Terengganu dan Yang di-Pertuan Agong, manakala Najib pula merupakan timbalan perdana menteri dan menteri kewangan.

Shahrol memberi keterangan bahawa dia bekerja sebagai perunding di Accenture selama 13 tahun sebelum disyorkan oleh Jho Low sebagai ketua pegawai eksekutif TIA. Beliau secara rasmi memegang jawatan itu pada 23 Mac 2009, sebulan selepas syarikat itu diperbadankan.

Kedua-duanya mereka saling mengenali satu sama lain sejak 2007, ketika Jho Low berkhidmat sebagai pengarah urusan di Utama Banking Group Bhd (UBG).

"Pada pendapat saya, ketika itu Jho Low menilai sifat dan keperibadian saya - bahawa saya adalah seseorang yang mampu melaksanakan arahan klien tanpa meminta banyak soalan, " kata saksi itu.

Shahrol berkata beliau diberi peluang menghadap Sultan Mizan pada 21 Mac 2009 di Istana Terengganu di Jalan Kia Peng, Kuala Lumpur yang juga menyaksikan kehadiran Jho Low.

Shahrol berkata dirinya percaya bahawa Jho Low mempunyai hubungan rapat dengan Najib yang ketika itu memegang jawatan timbalan perdana menteri dan menteri kewangan.

Ini kerana Najib bersetuju dengan rancangan Jho Low untuk TIA dan 1MDB serta bertindak sebagai 'fasilitator' antara Sultan Mizan dan perdana menteri.

"Jho Low mempunyai akses langsung kepada Najib. Sebagai contoh, ketika mesyuarat lembaga TIA, Jho Low mampu terus menghubungi Najib melalui telefon untuk mendapatkan panduan.

"Jho Low juga berjumpa Najib di rumahnya - sama ada di Jalan Langgak Duta, Kuala Lumpur atau Sri Satria, Putrajaya," kata Shahrol.

Shahrol memberi keterangan bahawa dia percaya bahawa Sultan Mizan merancang TIA, bersama dengan Jho Low, setelah mendapat ilham kejayaan dana pelaburan syarikat UAE, Syarikat Pelaburan Mudabala (Mubadala Investment Company).

Mengikut rancangan awal, kerajaan persekutuan akan memberi jaminan kepada bon TIA yang bernilai RM5 bilion, manakala kerajaan Terengganu akan menyuntik RM6 bilion menerusi pensekuritian royalti minyak.

Lihat Komen
ADS