Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Guan Eng beri isyarat Tanjung Piai kekal milik Bersatu

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng memberi isyarat bahawa DAP tidak akan menuntut balik kerusi parlimen Tanjung Piai daripada Bersatu.

Ketika ditanya parti komponen Pakatan Harapan yang mana sepatutnya bertanding, beliau membalas: "Tanjung Piai tidak ada kaitan dengan DAP".

"Tanjung Piai (itu) Bersatu, bukan DAP, Bersatu. Mari kita ‘bersatu’ untuk menang," tambahnya.

Kerusi parlimen Tanjung Piai di Johor menjadi kosong susulan kematian penyandangnya, bekas timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri Dr Farid Md Rafik, pada Sabtu lalu.

Sebelum Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14) kerusi tersebut secara tradisinya ditanding oleh DAP. Manakala, bagi BN, kerusi tersebut diserahkan kepada MCA.

Walau bagaimanapun, tradisi BN pada PRK kali ini dipercayai tidak akan dijadikan sebagai amalan.

Menurut laporan Utusan Malaysia, Pengerusi BN Johor, Hasni Mohammad dipetik sebagai berkata bahawa kerusi tersebut tidak dimiliki satu parti sahaja kerana ia bergantung kepada keadaan semasa.

Bagi Tanjung Piai, Hasni berkata bahawa BN negeri terbuka dengan sebarang cadangan berhubung bakal calon pembangkang.

"Kami terbuka kepada sebarang cadangan dan akan meneliti situasi semasa dan keperluan berdasarkan pemahaman mereka yang terlibat, dan faktor-faktor yang akan menyumbang untuk mencapai keputusan (pada calon).

"Tiada konsensus kekal untuk kerusi itu," katanya.

Pada PRU14, Farid menumbangkan penyandang selama dua penggal di kerusi berkenaan, iaitu Wee Jeck Seng daripada MCA dengan majoriti tipis 524 undi.

Umno dan PAS yang menjalin kerjasama rasmi menerusi Muafakat Nasional, baru-baru ini, percaya mereka mampu membuat kejutan dan menawan kerusi berkenaan.

Lihat Komen
ADS