Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
‘Penukaran TIA kepada MDB berdasar maklum balas Khaldoon’
Diterbitkan:  Sep 24, 2019 6:41 PM
Dikemaskini: 10:41 AM

KES 1MDB NAJIB l Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini diberitahu bahawa cadangan penukaran Terengganu Investment Authority Berhad (TIA) kepada Malaysia Development Berhad (MDB) dibuat berdasarkan maklum balas salah seorang daripada Lembaga Penasihat (BOA) dalam 1MDB.

Bekas ketua pegawai eksekutif (CEO) 1MDB dan TIA, Shahrol Azral Ibrahim Halmi, 49, ketika membacakan penyataan saksinya berkata TIA telah meminta untuk mendapatkan maklum balas daripada BOA tentang penukaran konsep daripada TIA kepada MDB mengikut acuan daripada tabung kekayaan berdaulat (sovereign wealth fund) Abu Dhabi yang terkemuka, Mubadala Development Company (Mubadala).

"Pada masa itu, salah seorang BOA adalah Khaldoon Khalifah Al-Mubarak yang merupakan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Mubadala di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan berdasarkan maklumbalas daripada Khaldoon, pihak TIA mencadangkan TIA ditukarkan kepada MDB mengikut acuan syarikat Mubadala Development dari Abu Dhabi," katanya ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Kanan Datuk Seri Gopal Sri Ram pada perbicaraan hari ke-12 kes Najib membabitkan 1MDB.

Saksi pendakwaan kesembilan itu turut merujuk surat daripada TIA bertarikh 25 Jun 2009 berkenaan 'TIA Proposed Evolution into Malaysia Development Berhad (MDB)'.

"Surat ini dihantar oleh pihak saya (TIA) kepada Najib Razak selaku Menteri Kewangan dan Perdana Menteri. Tujuan surat ini dihantar kepada Najib adalah untuk memberikan butiran cadangan penukaran daripada TIA kepada MDB," kata saksi itu lagi.

Shahrol Azral berkata merujuk kepada surat berkenaan, pihak TIA memaklumkan kepada Najib untuk melancarkan model baru ekonomi yang mana rakyat Malaysia akan menerima manfaat daripadanya.

"Saya tidak terlibat di dalam mana-mana perbincangan awal mengenai kandungan surat ini. Walau bagaimanapun, saya percaya bahawa telah ada perbincangan di antara Najib, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop dan Jho Low sebelum itu.

"Surat ini didrafkan oleh saya bersama dengan Jho Low. Tandatangan di ruangan bawah surat ini adalah tandatangan saya selaku CEO TIA dan disalinkan kepada Nor Mohamed. Saya juga dimaklumkan bahawa beliau (Tan Sri Nor) diberi tanggungjawab oleh Najib untuk menguruskan pertukaran daripada TIA kepada MDB," jelasnya.

Sementara itu, Shahrol Azral berkata terdapat surat daripada TIA kepada Najib bertarikh 1 Julai 2009 yang memaklumkan bahawa pihak Istana telah bersetuju menyerahkan TIA kepada MOF Inc. bagi tindakan selanjutnya.

"MB Inc. of Terengganu bersetuju untuk melepaskan kawalan serta pegangan ekuiti dalam TIA di mana Kementerian Kewangan akan mengambil alih kawalan dan ekuiti yang dilepaskan oleh MB Inc. of Terengganu. Surat itu telah ditandatangani oleh saya dan telah disalinkan kepada Tan Sri Nor dan Tan Sri Dr Wan Abdul Aziz Wan Abdullah," katanya yang turut memaklumkan surat berkenaan disediakan olehnya sendiri.

Saksi utama pendakwaan itu turut dirujuk berhubung surat TIA bertarikh 19 Julai 2009 kepada Najib membabitkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) – A New Beginning.

"Surat ini adalah bertujuan untuk memberi butiran dan ringkasan segala maklum balas yang diterima mengenai permulaan 1MDB sebagai anak syarikat milik penuh MOF Inc. kerana banyak maklum balas diterima daripada Najib melalui Jho Low.

"Saya ingin memastikan segala maklum balas itu dipersetujui oleh Najib. Nama-nama ahli lembaga pengarah 1MDB kesemuanya telah diberi oleh Jho Low kepada saya. Saya juga dimaklumkan bahawa nama-nama ini telah dipersetujui oleh Najib.

"Ini juga sama mengenai BOA. Saya tidak terlibat dengan perbincangan awal bersama Najib namun saya percaya telah ada perbincangan awal di antara Jho Low dengan Najib mengenai perkara di dalam surat ini. Saya telah tandatangani surat ini dan telah salinkan kepada Nor dan Dr Wan Abdul Aziz," jelas Shahrol Azral.

Sementara itu, Shahrol Azral berkata Khaldoon sedia maklum bahawa beliau adalah salah seorang BOA dalam 1MDB tetapi beliau tidak pernah menghadiri mesyuarat rasmi BOA.

"Seingat saya, pihak 1MDB ada menyediakan surat lantikan kepada Khaldoon untuk tandatangan Najib Razak tetapi saya tidak pasti sama ada surat itu telah disampaikan kepada Khaldoon atau tidak.

"Saya juga pernah menemui Khaldoon dalam beberapa pertemuan di Abu Dhabi dan ketika beliau datang ke Malaysia untuk lawatan pada Oktober 2010," katanya.

Najib, 66, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama.

Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan empat kesalahan rasuah di Cawangan AmIslamic Bank Berhad, Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon di Kuala Lumpur antara 24 Feb 2011 dan 19 Dis 2014 manakala bagi semua pertuduhan pengubahan haram antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013, di tempat sama.

Perbicaraan berlangsung di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah.

- Bernama

Lihat Komen
ADS