Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

PRK TG PIAI | Presiden MCA, Dr Wee Ka Siong, berkata parti itu menghormat prosedur operasi standard (SOP) yang diamalkan BN dan pengumuman mengenai nama calon mewakili pembangkang di Tanjung Piai akan dibuat secara kolektif.

Kata anggota parlimen Ayer Hitam itu, pendirian tersebut diambil selepas beliau mengadakan perbincangan panjang lebar dengan Pengerusi BN, Dr Ahmad Zahid Hamidi, hari ini.

“Pada hari ini saya dah jumpa dengan pengerusi selama lebih satu jam.

"Banyak yang kita bincangkan, misalnya, bagaimana untuk memastikan kemenangan di pihak BN.

"Oleh kerana itu kita kena hormati SOP yang ada, iaitu pada mana-mana pilihan raya kecil, nama calon akan diumum secara kolektif di peringkat pusat dan diputuskan oleh Dewan Tertinggi BN," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat MCA di Kuala Lumpur hari ini.

Menurut Wee, beliau sendiri tidak boleh bersuara untuk mewakili semua komponen BN yang terdiri daripada tiga parti.

Kerusi parlimen Tanjung Piai kosong berikutan kematian mengejut penyandangnya, Dr Mohd Farid Md Rafik, pada 21 Sept lalu.

PH merampas kerusi Tanjung Piai daripada MCA melalui Mohd Farid - yang juga anggota Bersatu - dalam pilihan raya umum (PRU) tahun lalu.

Pastikan kemenangan memihak BN

Mohd Farid merampas kerusi tersebut daripada penyandang, Wee Jeck Seng, dengan kelebihan 524 undi. Beliau memperoleh 21,255 undi. Seorang lagi calon ialah Nordin Othman yang mewakili PAS.

Secara umum kawasan Tanjung Piai mempunyai hampir 54,000 pengundi dengan 57 peratus adalah Melayu berbanding Cina 42 peratus.

Tanjung Piai ialah kerusi tradisi MCA yang diperuntukkan melalui persefahaman BN sebelum ini. Bagaimanapun berdasarkan perkembangan semasa, ada kemungkinan kerusi itu akan ditandingi calon Melayu.

Bekas menteri besar Johor, Mohamed Khaled Nordin, disebut-sebut sebagai salah seorang calon yang berpotensi dipertaruhkan bagi menghadapi PH.

PAS pula menyatakan kesanggupan mereka menyokong siapa saja calon yang dipersetujui BN untuk diletakkan di situ, termasuk jika individu terbabit mewakili MCA.

Untuk rekod dalam PRU ke-14 lalu MCA menunjukkan prestasi sangat buruk apabila Wee satu-satunya calon parti itu yang berjaya lolos ke Dewan Rakyat berbanding 39 kerusi yang ditandingi.


Baca MCA tolak saranan pendekatan Islam Hadi


Di peringkat dewan undangan negeri pula, MCA meletakkan calon di 90 kerusi namun hanya memenangi dua daripadanya.

Wee berkata ketika ini perkara yang paling penting dilakukan ialah menggerakkan semua jentera parti bagi memastikan kerusi Tanjung Piai dapat dikembalikan kepada BN.

Ditanya sama ada MCA berhajat untuk mengekalkan calonnya di kerusi tersebut, Wee tidak menjawabnya secara langsung.

Wee (tengah) bersama Timbalan Presiden MCA, Mah Hang Soon (kiri) dan setiausaha agung, Chong Sin Woon

“Saya kata, yang penting ialah berbincang dengan pengerusi BN.

"Saya selaku presiden MCA telah berbincang dengan pengerusi BN. Itu adalah perkara biasa, dan ini bukan kali pertama BN menghadapi PRK.

“Ini perkara biasa... apabila watikah diberi nanti, kita nak memastikan calon kita - calon BN - akan menang. Itu yang saya pentingkan," katanya.

Sementara itu, Wee mengumumkan, bekas ketua Pemuda MCA Chong Sin Woon, kini dilantik menjadi setiausaha agung parti itu menggantikan Chew Mei Fun yang meletak jawatan pada 13 Julai lalu.

Chong pula berkata, masanya telah tiba untuk beliau berkhidmat sekali lagi kepada parti selepas berehat lebih setahun.

Tanpa pembabitan aktif dalam MCA, kata Chong, beliau melihat parti dari perspektif baru dan memberikan banyak idea kepadanya.

“Oleh sebab ada kekosongan dan Wee berbincang dengan saya banyak kali, maka saya memutuskan untuk membantu parti,” katanya.

Pada PRU ke-14, Chong tumpas kepada Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke di kerusi parlimen Seremban.

Lihat Komen
ADS