Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Wanita dakwa MP PKR buat gangguan seksual gesa siasatan dipercepat

Wanita yang mendakwa diganggu secara seksual oleh anggota parlimen Sungai Siput, S Kesavan menggesa pihak polis menyiasat kes tersebut.

"Setiap kali saya menghubungi polis, pelbagai alasan diberi. Sedangkan saya dah memberitahu dan memberikan segala maklumat dan bukti diminta oleh polis bagi membantu aduan saya," kata wanita itu yang hanya mahu dikenali sebagai 'Ammu' kepada Malaysiakini.

Wanita itu yang merupakan anggota PKR turut membandingkan garis masa kesnya dengan kes rogol melibatkan Adun Tronoh Paul Yong.

"Lihat kes (melibatkan) Paul Yong. Sudah berada di mahkamah. Kenapa pula kes saya masih ditarik-tarik? Kes saya masih lebih awal berbanding kes itu. Jadi, kenapa lambat sangat?" soalnya.

Pada Mei lalu, Malaysiakini melaporkan Kesavan dan wanita berkenaan saling membuat laporan polis terhadap satu sama lain.

Dalam laporan polis itu, wanita berkenaan mendakwa menerima gangguan seksual daripada Kesavan sejak Disember tahun lalu, manakala Kesavan pula membuat laporan polis mengadu tentang trauma dan gangguan jiwa terhadapnya.

Wanita berkenaan yang juga seorang peguam dari Puchong membuat laporan polis pada 16 Mei lalu mendakwa dia menerima gangguan seksual ketika bekerja dengan ahli parlimen itu selepas pilihan raya umum ke-14 pada 2018.

“Lelaki itu menghantar teks 'I love you sayang'...

"Malah, dia buat pula panggilan video dan menunjukkan buku Kamasutra," kata wanita itu merujuk buku kuno India yang menceritakan mengenai seksualiti dan erotika.

Namun, pada 18 Mei, Kesavan tampil menafikan tuduhan melakukan gangguan seksual terhadap bekas pembantunya.

Pemimpin PKR Perak itu berkata, laporan polis yang dibuat oleh wanita berkenaan terhadapnya adalah berniat jahat dan cuba menjatuhkan reputasinya.

Menurutnya, dalam perkara ini kedua-dua pihak membuat laporan polis.

"Saya buat ke atas dia. Dan sebaliknya dia buat ke atas saya. Maka, siapa yang salah atau menipu tuduh sahaja di mahkamah.

"Kalau saya salah bawa ke mahkamah. Begitu juga dengan dia. Kenapa lambat sangat?" katanya sambil menambah kes saman malu beliau terhadap Kesavan kini sudah berada di pengurusan kes.

"Kes saman malu saya terhadap dia kini sudah berada ditahap pengurusan kes. Tapi, laporan polis... saya tak tahu di mana sekarang," jelasnya.

Malaysiakini sudah menghubungi pihak polis bagi mendapatkan ulasan.

Lihat Komen
ADS