Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Skim Air Darul Ehsan susahkan rakyat, kata Umno
Diterbitkan:  Sep 27, 2019 5:03 PM
Dikemaskini: 9:03 AM

Pembangkang menyifatkan Skim Air Darul Ehsan yang diumumkan kerajaan Selangor untuk mengehadkan pemberian air percuma kepada isi rumah berpendapatan RM4,000 ke bawah lebih daripada menyusahkan rakyat.

Ketua Pembangkang DUN Selangor, Rizam Ismail, berkata skim berkenaan bukan saja menyukarkan kehidupan orag ramai, malah boleh mengakibatkan berlaku keciciran dalam kalangan golongan sasaran.

Katanya penjajaran baru pemberian air percuma itu bukanlah perkara baru kerana telah dinyatakan dalam pembentangan Belajawan Selangor 2019 pada tahun lalu.

Lebih dikesalkan, kata Rizam, mereka yang layak tidak dapat menerima bantuan tersebut secara automatik sebaliknya perlu membuat permohonan terlebih dulu.

"Tindakan ini bukan sahaja akan menyukarkan rakyat, malah boleh menyebabkan berlakunya keciciran bagi isi rumah yang tidak mengetahui tentang proses permohonan itu," katanya dalam satu kenyataan, petang ini.

Terdahulu, kerajaan Selangor akan menjenamakan semula program pemberian air percuma sebagai subsidi bersasaran mulai Mac tahun depan dengan memperkenalkan kriteria pendapatan untuk kelayakannya.

Berkuat kuasa pada 1 Mac 2020, hanya pendapatan isi rumah berdaftar sebanyak RM4,000 dan ke bawah layak menerimanya bantuan tersebut, berbanding subsidi menyeluruh yang diberikan kepada semua rumah di Selangor ketika ini.

Patutnya lebih mudah

Program pemberian air percuma sebanyak 20 meter padu pertama - bersamaan RM11.40 setiap bulan - kepada semua pengguna domestik bermeter individu di Selangor diperkenalkan sejak 1 Jun 2008, iaitu sejurus selepas BN dikalahkan di Selangor.

Program itu kemudiannya diperluas kepada pengguna meter pukal yang tinggal di flat pada Jun 2010.

Rizam juga mendakwa kerajaan Selangor menjadikan pemberian air percuma untuk 20 meter padu pertama itu sebagai modal politik.

"Pemberian air percuma di negeri Selangor yang kononnya akan menjadi model kepada pentadbiran negeri lain akhirnya kini diterhadkan kepada kumpulan rakyat tertentu sahaja.

"Lebih menghairankan, perkara ini terjadi apabila kerajaan negeri mengambil alih semua syarikat dan aset berkaitan pembekalan air di negeri ini dengan harga yang sangat tinggi.

"Apabila kesemua aset ini menjadi milik negeri, seharusnya lebih mudah untuk kerajaan untuk meneruskan pemberian air percuma," katanya lagi.

Tambah Rizam rakyat Selangor akan berdepan dua kali bebanan selepas ini, iaitu berakhirnya pemberian 20 meter padu air percuma dan kenaikan tarif air seperti dicadangkan Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli.

Lihat Komen
ADS