Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
‘K’jaan guna perundangan dapatkan wang 1MDB dari Goldman Sachs’

Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata tidak ada perbincangan dijalankan dengan Goldman Sachs Group Inc setakat ini dalam usaha mendapatkan semula wang AS$6.5 bilion hasil tiga jualan bon untuk 1MDB yang didakwa telah diselewengkan.

Sebaliknya, beliau berkata kerajaan akan meneruskan proses perundangan bagi mendapatkan semula wang negara itu.

“Tiada perbincangan dengan Goldman Sachs tetapi kita akan teruskan dengan proses perundangan yang dikendalikan oleh peguam negara," katanya pada sidang media di Kementerian Kewangan di Putrajaya hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai sama ada terdapat perbincangan bersama Goldman Sachs tentang pemulangan wang dari 1MDB.

Terdahulu, beliau menghadiri mesyuarat majlis perhimpunan bulanan MOF dan merasmikan portal MLA 3.0 aplikasi mudah alih CEP dan Treasury Active Learning Centre (TALC).

Pada 19 Dis 2018, kerajaan menfailkan empat pertuduhan ke atas Goldman Sachs dan didakwa telah meninggalkan fakta-fakta material berhubung penjualan bon terbitan antara anak-anak syarikat 1MDB dengan Aabar Investments PJS Limited (Aabar Limited).

Mereka memfailkan pertuduhan jenayah terhadap anak syarikat Goldman Sachs dan bekas pekerjanya Tim Leissner dan Roger Ng Chong Hwa.

Pertuduhan di bawah subseksyen 179(c) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 yang boleh dihukum di bawah seksyen 182 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi 10 tahun dan didenda tidak kurang daripada RM1 juta, jika sabit kesalahan.

Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat menganggarkan sekitar AS$4.5 bilion diselewengkan daripada 1MDB antara 2009 dan 2014, termasuk sebahagian dana yang dibantu oleh Goldman Sachs.

Goldman Sachs didakwa mengenakan yuran tinggi untuk menguruskan tiga bon untuk 1MDB, yang kemudian didakwa disalah guna untuk kepentingan tiga pihak, termasuk bekas perdana menteri Najib Razak.

Goldman dikatakan membuat untung sebanyak AS$582.5 juta (RM2.44 bilion).

Januari lalu, ketua eksekutif Goldman Sachs David Solomon memohon maaf kepada Malaysia susulan peranan pegawainya dalam skandal 1MDB.

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad walau bagaimanapun berkata, jumlah pampasan yang ditawarkan oleh Goldman Sachs untuk menyelesaikan kes itu terlalu kecil.

Dalam perkembangan lain, Lim turut diminta mengulas mengenai tawaran daripada syarikat berpangkalan di Hong Kong, RRJ Capital untuk mengambil alih saham syarikat Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) daripada Khazanah Nasional Bhd.

Katanya, kementeriannya tidak menerima usul mengenai tawaran tersebut daripada Khazanah tetapi ada menerima usul lain daripada Khazanah.

Pada 2 Oktober, The Edge melaporkan bahawa terdapat firma swasta dari Hong Kong, RRJ Capital menawarkan RM3 bilion tunai untuk membeli keseluruhan saham Plus Malaysia berhad. Cadangan itu kemudian diserahkan kepada Khazanah dan Menteri Kerja Raya Baru Bian minggu lalu untuk kajian lanjut.

Menurut laporan itu, sekiranya berjaya, syarikat itu akan mengurangkan kadar tol sebanyak 20 peratus.

Lihat Komen
ADS